KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 2,208 penjawat awam yang didakwa terbabit rasuah, dengan 1,070 dituduh, manakala 493 disabitkan kesalahan sejak 2020 hingga 2024 lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia dilakukan hasil pembukaan 725 kertas risikan; 3,765 kertas penyiasatan awam dan 2,265 kertas siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan penjawat awam dalam tempoh sama.
“Ia hasil daripada 11,139 maklumat berunsur rasuah membabitkan penjawat awam yang diterima SPRM,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Batu Gajah (Perak) daripada Pakatan Harapan (PH), Encik V Sivakumar, yang meminta kerajaan menjelaskan keberkesanan dasar antirasuah dalam perkhidmatan awam, termasuk statistik terkini mengenai siasatan SPRM.
Pada masa yang sama, Datuk Azalina berkata 81 pegawai SPRM ditempatkan di Unit Integriti Awam (UI) dan Unit Integriti dan Tadbir Urus (IGU) di Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) sehingga 31 Disember 2024 lalu.
Katanya, SPRM turut melucut hak RM140 juta ($42.2 juta) nilai aset pada 2024 melalui proses siasatan, pendakwaan dan tindakan undang-undang berkesan.
Baru-baru ini, media melaporkan Malaysia kekal di kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2024, dengan skor 50 mata.
Kedudukan terbaru itu diperoleh hasil daripada sembilan tinjauan berbeza bagi mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menjelaskan antara sebab Malaysia berada di kedudukan dan skor yang sama adalah kerana perniagaan masih merasakan masalah rasuah merupakan isu utama yang perlu dibendung dalam sektor awam.
TI-Malaysia berkata tradisi meminta rasuah dan memberi rasuah didakwa masih berleluasa di Malaysia.
Ketua Setiausaha Malaysia, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam maklum balasnya berhubung isu rasuah dalam kalangan penjawat awam menegaskan reformasi perkhidmatan awam adalah satu kemestian bagi memastikan pentadbiran negara ini berada pada tahap lebih tinggi dan dihormati rakyat.
Katanya, agenda reformasi yang dilancarkan pada 10 September 2024 lalu membawa lapan nilai penting yang menjadi asas dalam perkhidmatan awam, iaitu mesra, adil, luhur, yakin, setia, amanah, arif dan ihsan.
Menurutnya semua nilai itu berkait rapat dengan integriti dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg