SHAH ALAM (Selangor): Penyanyi terkenal Malaysia, Ziana Zain, menafikan dakwaan beliau dibayar hingga RM400,000 ($121,497) bagi tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta sebuah syarikat perunding kewangan yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kes rasuah dan pengubahan wang haram.
“Kalau dapat macam itu (bayaran ratusan ribu) saya sudah keluar kereta Mercedes baru. Sebab yang menjadi duta ramai, jadi sudah tentu belanja dikeluarkan besar.
“Kadang-kadang apabila angka itu dikeluarkan, bukan bermakna kita dapat semua itu,” katanya selepas konsert akhir program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), di Shah Alam, Selangor, pada 9 Februari malam, lapor Berita Harian Malaysia.
Penyanyi berusia 57 tahun itu mendakwa siasatan SPRM terhadap syarikat berkenaan menerusi Ops Sky, tidak mengganggu kerjaya seninya.
Bagaimanapun beliau tidak menyangka buat kali pertama berdepan siasatan pihak berkuasa biarpun pernah menggalas pelbagai tanggungjawab sebagai duta.
“Kita ini hanya tahu secara permukaan saja dan tak tahu apa di sebalik syarikat itu.
“Bagi saya, mereka (syarikat terbabit) juga masih dalam siasatan, jadi tidak boleh terus tuduh mereka bersalah atau tidak.
“Saya hanya duta yang menjalankan tugas. Menyanyi dan buat hantaran (dalam media sosial)… itu saja,” katanya.
Pada 6 Februari, tiga selebriti Malaysia termasuk Ziana; pelakon Datuk Jalaluddin Hassan; dan Angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha, dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan kes terbabit.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ketiga-tiga mereka tidak dianggap sebagai suspek, sebaliknya keterangan masing-masing diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Sementara itu Tan Sri Azam berkata SPRM akan memanggil 18 lagi individu untuk disoal siasat berhubung siasatan Ops Sky, dengan setakat ini 39 individu telah diambil keterangan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Encik Fouzi Singon, mengesahkan ada sekolah yang membenarkan kemasukan syarikat perunding kewangan yang ditumpaskan SPRM itu dan didakwa menerima sekurang-kurangnya RM1,000, kononnya sebagai sumbangan atau bantuan pembangunan.
Tindakan pentadbiran sekolah terbabit jelas keputusan sendiri dan melanggar ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang kini melancarkan siasatan terhadap isu berkenaan.
Setakat ini, syarikat perunding kewangan terbabit dipercayai telah memperdaya lebih 4,000 penjawat awam sebagai mangsa sindiket tawaran pinjaman didalangi pegawai bank di beberapa institusi kewangan negara yang bersekongkol dengan syarikat perunding kewangan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg