Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

26 pintu masuk elektronik ditambah di CIQ

Dijangka mula diguna pada 19 Feb 
Feb 6, 2025 | 1:29 PM
Sebahagian daripada 26 pintu masuk elektronik atau ‘e-gate’ tambahan yang dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor.
Sebahagian daripada 26 pintu masuk elektronik atau ‘e-gate’ tambahan yang dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor. - Foto FACEBOOK MOHAMAD FAZLI

JOHOR BAHRU: Sebanyak 26 pintu masuk elektronik atau e-gate tambahan dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan dijangka mula digunakan pada 19 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata penambahan e-gate itu menjadikan keseluruhan 39 unit kemudahan itu disediakan di balai ketibaan BSI, manakala 29 lagi di balai pelepasan.

Beliau berkata semua e-gate tambahan itu sedang diuji sebelum dapat digunakan dua minggu lagi.

E-gate tambahan telah pun sampai ke CIQ BSI. Sebanyak 26 unit e-gate baru telah dipasang dan sekarang sedang diuji.

“17 unit e-gate dipasang di balai ketibaan, manakala sembilan unit lagi dipasang di balai pelepasan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada 6 Februari, lapor Harian Metro.

Sebelum ini, terdapat 22 unit e-gate sedia ada di balai ketibaan, manakala 20 lagi di balai pelepasan.

Encik Mohamad Fazli berharap dengan penambahan e-gate itu, perjalanan merentas dua negara iaitu Malaysia-Singapura, bertambah lancar dan memberi keselesaan kepada warganya.

Pada 20 Januari 2023, kerajaan membenarkan sistem e-gate di CIQ BSI dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) digunakan warga asing, khususnya warga Singapura yang berulang-alik ke Johor untuk tujuan sosial.

Langkah itu antara penyelesaian jangka pendek diambil untuk mempercepatkan aliran keluar masuk pelancong di BSI dan KSAB.

Pada 13 Oktober 2023, Encik Mohamad Fazli berkata kerja menambah e-gate khusus pejalan kaki mula dilaksanakan bagi memberi keselesaan dan mempercepatkan perjalanan ulang-alik ke Singapura tanpa beratur panjang.

Inisiatif pembukaan e-gate kepada warganegara Singapura itu menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa Malaysia, khususnya Jabatan Imigresen Malaysia, untuk memudahkan rakyat kedua-dua negara.

Bagi kemudahan pergerakan keluar masuk warga Singapura, syarat minimum dikenakan untuk penggunaan e-gate, iaitu kepada warganegara Singapura yang memegang e-Pasport, tempoh sah laku pasport sekurang-kurangnya tiga bulan, telah menghantar Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum perjalanan dilakukan dan mengesahkan biometrik di kaunter Imigresen untuk kali pertama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg