Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan pengunjung terkandas di pintu masuk imigresen Johor

Suis utama Bangunan Sultan Iskandar rosak punca sistem ‘autogate’, kod QR tergendala
Dec 9, 2024 | 5:34 PM
Ribuan pengembara bersesak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor, selepas 42 pintu pagar automatik di situ mengalami gangguan pada 8 Disember.
Ribuan pengembara bersesak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor, selepas 42 pintu pagar automatik di situ mengalami gangguan pada 8 Disember. - Foto FACEBOOK UNIT KOMUNIKASI KORPORAT BANGUNAN SULTAN ISKANDAR

Kerosakan pada bahagian suis utama di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dikenal pasti sebagai punca utama gangguan sistem pagar automatik (autogate) dan kod respons pantas (QR) yang berlangsung lebih enam jam pada 8 Disember.

Menurut Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, masalah tersebut dikesan selepas siasatan dalaman dijalankan.

Gangguan teknikal itu bermula sekitar 12 tengah hari sebelum berjaya dipulihkan sepenuhnya pada sekitar 6.30 petang.

“Masalah teknikal ini menyebabkan kegagalan fungsi sistem autogate dan kod QR di BSI,” kata beliau dalam kenyataan rasmi pada 9 Disember.

Hasil siasatan dalaman mendapati kerosakan berlaku di bahagian suis utama BSI, yang merupakan di bawah tanggungjawab Pengurusan Bangunan Syarikat TMR Urusharta (M) Sdn Bhd.

Kejadian itu telah menyebabkan ribuan pengembara terperangkap dan terpaksa bersesak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dekat BSI.

Pihak imigresen memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan berjanji untuk terus memantau keadaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

Pihak pengurusan BSI dilapor mengaktifkan laluan kontra untuk semua pelawat bagi menyurai kesesakan di BSI.

Keadaan itu menyebabkan pelawat terpaksa beratur panjang selama berjam-jam di laluan keluar masuk dewan penumpang bas.

Bagaimanapun, pihak imigresen mengambil langkah segera untuk mengawal kesesakan.

Difahamkan sekurang-kurangnya 42 autogate di BSI mengalami gangguan teknikal serius dan memaksa orang ramai melakukan pelepasan imigresen secara manual.

Kejadian seumpama itu difahamkan tidak pernah berlaku sebelum ini dan menyebabkan kesesakan teruk berikutan insiden malang itu berlaku pada hujung minggu, ketika jumlah pengembara agak tinggi berikutan cuti sekolah yang sudah bermula di Singapura.

Kerajaan Malaysia membenarkan penggunaan kemudahan autogate kepada warga Singapura di dua pintu masuk ke Malaysia di CIQ BSI di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, Johor, bermula Januari 2023.

Pada 5 Disember 2023, kesesakan sama pernah berlaku di BSI menyebabkan ribuan pengembara terjejas apabila sistem autogate tidak dapat berfungsi dengan baik berikutan kejadian bekalan elektrik terputus.

Pihak pengurusan kemudian membuka sembilan laluan kontra untuk pelepasan imigresen secara manual.

Kejadian mengejutkan di BSI itu menyaksikan gangguan bekalan elektrik lebih 12 jam bermula 8 malam 5 Disember, didapati berpunca daripada kerosakan generator atau genset.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika itu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai memalukan negeri dan tidak sepatutnya berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg