JOHOR BAHRU: Sebanyak 270 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh Malaysia dalam tempoh dua minggu dalam satu operasi untuk mengesan pemilik yang tidak memiliki lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan raya dan insurans yang sah.
Operasi yang dinamakan Ops Luxury itu diadakan menyusuli arahan yang dikeluarkan oleh ibu pejabat kepada semua JPJ negeri bagi mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans bermula pada Julai, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
“Tindakan ini adalah mesej jelas kepada pemilik kenderaan mewah yang sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kereta, tetapi enggan atau cuai membayar cukai jalan dan insurans.
“Antara kes yang kita kesan termasuk sebuah Ferrari di Johor Bahru yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans. Di Kuala Lumpur pula, kita tahan sebuah Rolls Royce dengan cukai jalan tertunggak bernilai RM29,000 ($8,841) setahun, belum termasuk insurans,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Johor di Taman Daya, Johor Bahru pada malam 14 Ogos.
Beliau berkata di Johor sahaja, sebanyak 11 kenderaan mewah disita setakat 14 Ogos, termasuk sebuah Lamborghini Huracan yang cukai jalannya mencecah RM12,000 setahun.
Pemilik kenderaan yang ditahan perlu menyelesaikan semua saman, melangsaikan cukai jalan serta memperbaharui insurans sebelum kenderaan dilepaskan. Sekiranya gagal, kenderaan akan terus disimpan di premis JPJ sehingga segala tunggakan dijelaskan.
Menurut Datuk Aedy, antara alasan yang sering diberikan pemilik ialah “terlupa” memperbaharui cukai jalan, walaupun terdapat kes melibatkan cukai tertunggak sehingga lebih tiga tahun.
“Kita tidak memusuhi pemilik kenderaan mewah. Jalan raya adalah untuk semua, tetapi ia mesti digunakan oleh pemandu yang mematuhi undang-undang. Cukai jalan dan insurans sangat penting bagi melindungi semua pengguna jalan raya sekiranya berlaku kemalangan, terutama yang melibatkan pihak ketiga,” katanya.
Beliau menambah, walaupun operasi ini masih tertumpu di beberapa negeri termasuk Johor dan Kuala Lumpur, ia akan diperluaskan ke seluruh negara secara berterusan termasuk ke Sabah dan Sarawak.
Operasi dilakukan secara risikan di lokasi tumpuan kenderaan mewah, bukan melalui sekatan jalan raya menyeluruh, bagi memastikan penguatkuasaan dijalankan dengan terancang.
Datuk Aedy turut mengesahkan bahawa daripada jumlah kenderaan yang disita di Kuala Lumpur, sembilan daripadanya dimiliki warga asing, manakala selebihnya milik warganegara termasuk ahli perniagaan, selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Kita tidak mendedahkan senarai nama kerana fokus kita adalah pada penguatkuasaan dan memastikan semua pemilik mematuhi peraturan,” katanya.
Beliau menegaskan Ops Luxury akan diteruskan sebagai langkah mendidik dan mengingatkan pemilik kenderaan mewah bahawa pematuhan undang-undang jalan raya bukan pilihan, sebaliknya kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg