KUALA LUMPUR: Dua selebriti yang mempunyai kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit, dikesan masih ‘liat’ membayar cukai jalan dan perlindungan insurans bagi aset milik mereka itu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Encik Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata penemuan itu hasil risikan dan siasatan pihaknya menerusi ‘Ops Luxury’ yang diadakan di seluruh negara.
“Kita dapati ada dua lagi selebriti yang belum bayar cukai jalan kenderaan mewah mereka. Hasil pemerhatian kita, mereka tidak lagi memandu kenderaan itu yang diletakkan di rumah, hanya guna kenderaan lain untuk keluar,” katanya pada sidang media di Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Kuala Lumpur, pada 10 Ogos.
Turut hadir, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Encik Hamidi Adam dan Pengarah JPJ Selangor, Encik Azrin Borhan.
Terdahulu, media melaporkan, selebriti dan ahli perniagaan antara pemilik kenderaan mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Porsche yang dikesan ‘liat’ membayar cukai jalan dan perlindungan insurans dalam tempoh lama.
Mereka menggunakan alasan jarang menggunakan kenderaan berkenaan kecuali sebagai “weekend car” (kereta hujung minggu), lapor Berita Harian Malaysia.
Namun, Encik Muhammad Kifli berkata perkara itu tetap menjadi satu kesalahan kerana cukai jalan dan insurans tidak diperbaharui dalam tempoh masa lama.
Sementara itu, Encik Muhammad Kifli dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 258 kenderaan mewah yang dipandu warga tempatan dan warga asing disita JPJ menerusi Ops Luxury 3.0 yang dijalankan di seluruh negara.
Kuala Lumpur mencatat jumlah tertinggi dengan 93 kenderaan disita, diikuti Selangor (61) dan Pulau Pinang (28).
Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan 627 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans.
Beliau menjelaskan semua kenderaan yang ditahan disita mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan berkaitan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg