Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 beranak lemas ketika riadah di sungai di Selangor

May 6, 2024 | 3:25 PM
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu, Selangor, memberi bantuan kecemasan kepada tiga beranak mangsa lemas ketika mandi di Sungai Balak, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu, Selangor, memberi bantuan kecemasan kepada tiga beranak mangsa lemas ketika mandi di Sungai Balak, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor. - Foto ihsan JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

HULU SELANGOR: Kegembiraan sebuah keluarga menghabiskan cuti hujung minggu mandi di Sungai Balak, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor, berakhir dengan tragedi apabila si bapa dan dua anaknya lemas pada 5 Mei.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim, berkata kejadian kira-kira 1.15 petang itu berlaku apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tergelincir ketika mandi di sungai itu dan bapanya cuba menyelamatkannya.

Pada masa sama, seorang anak lelaki berusia enam tahun lelaki berkenaan terjun ke dalam sungai itu tanpa disedari ibunya.

Ketiga-tiga mangsa mati lemas.

Superintenden Ahmad Faizal berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa tiga mangsa tersebut melakukan aktiviti riadah bersama enam lagi ahli keluarga mereka.

“Polis menerima aduan mengenai kejadian pada 1.14 tengah hari. Kira-kira 10 minit kemudian, polis tiba di lokasi disusuli anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu, Selangor, untuk menyelamatkan mangsa.

“Semua mangsa ditemui pada 1.30 tengah hari dan dibawa naik ke tepi sungai sementara menunggu ambulans tiba.

“Bagaimanapun, selepas satu jam, tiga beranak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Kubu Baharu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Keluarga itu datang dari Kampung Kuantan, Batang Kali, untuk beriadah.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan di Lahad Datu, Sabah, tiga orang lemas manakala tiga lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan kepala air di Lembah Maksina, Makuau, Tungku, pada 8 malam 5 Mei.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Encik Sumsoa Rashid, berkata sebelum kejadian itu mangsa, yang berusia lingkungan 25 hingga 58 tahun, dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk melakukan kegiatan pendakian bersama 11 lagi pendaki.

Beliau berkata pasukan operasi tiba di lokasi kejadian pada 9.36 malam, selepas menerima panggilan daripada dua mangsa yang berjaya keluar dari tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan, dan segera menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.

“Semua 17 mangsa dihanyutkan kepala air kira-kira 8 malam hingga mengakibatkan enam hilang, dua cedera dan sembilan terperangkap. Tiga jasad sudah ditemui tertimbus di bawah kayu balak pada 1.37 pagi 6 Mei,” katanya, lapor BHM.

Encik Sumsoa berkata sembilan mangsa yang terperangkap, iaitu enam lelaki dan tiga wanita, berjaya dibawa keluar kira-kira 12 tengah malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg