KUALA LUMPUR: Tiga penyamun yang menyamar sebagai anggota polis Malaysia ditahan ketika sedang cuba merompak seorang lelaki di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, pada awal pagi 22 September.
Ketua Polis Daerah Brickfield, Penolong Pesuruhjaya Hoo Chang Hook, berkata sepasukan anggota daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengesan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan pada 3.30 pagi.
“Mangsa, seorang lelaki tempatan melaporkan (kepada anggota URB) tiga suspek mengacukan sepucuk pistol serta merampas kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet miliknya.
“Suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal namun berjaya ditahan oleh pasukan polis yang bertindak pantas di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 September, lapor Harian Metro.
Menurutnya, modus operandi kumpulan berkenaan adalah menyasarkan penunggang motosikal yang bersendirian dan menahan mangsa lalu memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Katanya, suspek juga menggunakan sepucuk pistol palsu bagi menakutkan mangsa dan meminta barangan berharga.
“Suspek kemudiannya akan menunjukkan pistol tiruan kepada mangsa dan melakukan pemerasan wang tunai atau barangan peribadi serta mengugut untuk dibawa ke balai polis jika enggan menyerahkan wang tunai.
“Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk masih dikehendaki bersabit kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Encik Hoo.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg