KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan jenayah yang mempunyai 44 rekod jenayah lampau, maut dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Tunku, Kuala Lumpur, pada awal pagi 6 Ogos.
Dalam kejadian kira-kira 4.10 pagi itu, suspek yang memandu kereta jenis BMW berjaya dipintas polis sebelum berlaku aksi berbalas tembakan yang menyebabkan suspek maut di lokasi.
Difahamkan, suspek berada di kawasan tersebut bagi mencari sasaran baru untuk melakukan kegiatan samun.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek lelaki warga Malaysia berusia 36 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan sindiket pengedaran dadah sejak 2024.
“Suspek yang ditembak mati dipercayai ketua atau dalang utama kumpulan yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan dadah di Kuala Lumpur, Perak dan Selangor.
“Turut dirampas bersama suspek iaitu sepucuk pistol jenis revolver yang dipercayai digunakan dalam kejadian berbalas tembakan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, lapor Kosmo!.
Beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai 44 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, jenayah kekerasan dan dadah.
Wartawan Kosmo! yang berada di lokasi kejadian mendapati terdapat beberapa kesan tembakan pada kenderaan polis.
Datuk Fadil berkata suspek disyaki menyasarkan rumah atau pusat perniagaan yang mempunyai peti besi, wang tunai dan jongkong emas.
Katanya suspek juga dipercayai menyamar sebagai polis untuk melakukan aktiviti jenayah.
“Kita percaya suspek yang merupakan dalang kumpulan ini turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan disyaki mempunyai belasan anggota.
“Polis akan meneruskan usaha mengesan saki baki ahli kumpulan ini,” katanya.
Datuk Fadil berkata semakan mendapati kenderaan tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara luar dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Pemeriksaan dalam kenderaan menemukan sepucuk pistol jenis revolver, beberapa peralatan samun dan vest (rompi) polis,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg