KLUANG (Johor): Samun di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor, dan kemudian melarikan diri kira-kira 60 kilometer ke Johor Bahru, dengan anggapan akan selamat daripada dikesan pihak berkuasa.
Namun, taktik itu tidak menjadi selepas tiga lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 23 tahun terbabit dicekup dalam serbuan berasingan antara 1 hingga 2.30 pagi 6 Mei.
Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Bahrin Mohd Noh, berkata suspek menyamun seorang peniaga wanita dan melarikan wang tunai berjumlah RM1,200 ($365) miliknya.
“Pada 2.40 pagi 4 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerima satu laporan polis daripada mangsa samun (berkenaan).
“Kejadian disyaki berlaku pada 12.30 tengah malam sebelum itu di sebuah tapak perniagaan, di hentian berkenaan.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang berjaya menahan tiga lelaki tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Beliau berkata semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama dan suspek kedua mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah.
“Manakala, suspek ketiga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau,” katanya.
Katanya, saringan air kencing terhadap suspek ketiga mendapati dia positif methamphetamine
“Saringan ujian air kencing terhadap suspek pertama dan suspek kedua negatif,” tambahnya.
Beliau berkata semua suspek direman sehingga selama enam hari sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg