ROMPIN (PAHANG): Tiga orang terbunuh dan 36 lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan bas dan lori treler di Rompin, Pahang pada awal pagi 9 Jun.
Ketua Polis Daerah, Encik Nor Azman Yusof, berkata kemalangan itu berlaku di Jalan Kuantan-Segamat berdekatan persimpangan Bahau kira-kira 1.30 pagi.
Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu, hilang kawalan, melanggar sebuah lori yang sarat dengan lilitan besi dan terbalik di jalan raya.
Beliau berkata bas itu membawa guru-guru daripada sekolah rendah Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka, bersama anak-anak mereka ke Terengganu untuk mengikuti program penanda aras.
Cikgu Hamzah Ahmad, 60 tahun, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan di mana beliau dibawa untuk rawatan, lapor akhbar New Straits Times.
Encik Hamzah ialah guru kedua yang terkorban dalam nahas itu. Cik Hasnatul Adilah Hassan, 48 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan di tempat kemalangan, kata laporan itu.
Pemandu bas persiaran kedua, Mohd Adi Hasan yang berusia 29 tahun, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas hilang kawalan lalu bertembung dengan lori treler sebelum terbalik di cerun tepi jalan,” kata ketua polis itu kepada wartawan di tempat kejadian.
Beliau menambah mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Muadzam Shah di Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan. Pemandu lori pula tidak cedera dan telah melarikan diri.
Encik Nor Azman berkata kemalangan itu sedang disiasat kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai dan merayu kepada saksi untuk memberikan maklumat mengenai kemalangan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg