BESUT (Terengganu): Seorang kanak-kanak lelaki berusia 20 bulan maut selepas secara tidak sengaja dilanggar kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu bapanya di halaman sebuah rumah di Kampung Wakaf Kubor, Kluang, Kampung Raja, di Besut, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad, berkata kejadian kira-kira 9.30 pagi 29 Mei itu berlaku ketika bapa mangsa sedang mengundurkan kenderaannya selepas selesai membasuh pacuan empat roda itu di halaman rumah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bapa kepada kanak-kanak itu mengalihkan kenderaannya setelah selesai mencucinya di halaman rumah.
“Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak yang sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah telah bergerak menuju ke arah kenderaan yang dipandunya dan menyebabkan dia terlanggar anaknya itu ketika mengundur kenderaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Encik Abdul Rozak berkata bapa mangsa kemudian membawa kanak-kanak itu ke Klinik Kesihatan Gong Medang di Besut untuk menerima rawatan dan mangsa telah disahkan meninggal dunia sejam kemudian, iaitu pada 10.30 pagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Encik Abdul Rozak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa berkenaan dan mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka semasa memandu di kediaman sendiri.
“Terutama apabila melibatkan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak kecil, pastikan tidak membiarkan kanak-kanak di luar rumah tanpa pengawasan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg