Topik diikuti
Pergi ke BHku3 maut ditembak di restoran Kota Tinggi, lelaki 71 tahun ditahan
3 maut ditembak di restoran Kota Tinggi, lelaki 71 tahun ditahan
3 maut ditembak di restoran Kota Tinggi, lelaki 71 tahun ditahan
KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun kira-kira 30 minit selepas dipercayai menembak mati tiga individu termasuk seorang wanita warga Vietnam di sebuah restoran di bandar Kota Tinggi, pada 19 April.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata suspek ditahan kira-kira 2 petang di kawasan sekitar 200 meter dari tempat kejadian.
Menurut beliau, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bersama Bahagian D9 Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Polis turut merampas selaras senjata api jenis senapang patah, yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mempunyai lesen senjata api yang sah.
“Lesen itu dikeluarkan untuk menjaga musuh tanaman kerana suspek mempunyai tanah pertanian yang melayakkannya memiliki senjata api berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 April.
Datuk Ab Rahaman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar 1.30 tengah hari.
Menurut beliau, kejadian membabitkan dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 37 dengan 63 tahun.
Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditembak menggunakan senapang patah, buatan Benelli model M/Super, tambahnya.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Tujuan pembunuhan masih dalam siasatan, namun, siasatan awal mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur kongsi gelap atau keganasan.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan tujuan pembunuhan berpunca daripada masalah hutang peribadi,” katanya.
Menurut beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada 20 April.
Orang ramai diminta tidak membuat sebarang andaian atau komen yang boleh mengganggu siasatan polis.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan suspek yang bekerja sebagai seorang pekebun telah ditahan reman bermula 20 April hingga 26 April.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar, selepas membenarkan permohonan dibuat Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, yang juga pegawai penyiasat kes, Penolong Superintenden Nor Azizi Indzam.
Tempoh reman diberikan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek lelaki tempatan itu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
