SEPANG: Tiga suspek pembunuhan seorang pelajar universiti swasta di unit kondominiumnya di Cyberjaya pada 24 Jun direman tujuh hari bermula 27 Jun sehingga 3 Julai ini.
Tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan yang bergari tiba di Mahkamah Sepang pada 8.30 pagi dikawal oleh anggota polis, lapor Berita Harian Malaysia.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Azaraorani Abdul Rahman.
Ketiga-tiga suspek kemudiannya dibawa keluar dari kawasan mahkamah pada 9.45 pagi.
Media pada 24 Jun melaporkan mangsa berusia 20 tahun ditemui maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan kira-kira 10 pagi.
Mangsa yang juga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.
Terdahulu, Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata suspek ditahan terdiri daripada seorang lelaki serta dua wanita berusia dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun.
Menurutnya, suspek ditahan di sekitar Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan, antara 9 pagi 26 Jun hingga 2 pagi 27 Jun.
Katanya, ketiga-tiga suspek dikenali mangsa wanita itu dan tangkapan dibuat dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis berhubung kematian mangsa diterima pada 10.28 pagi 24 Jun.
“Operasi bersama dijalankan pasukan Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg