KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan kematian penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun sebagai bunuh susulan kecederaan yang dialami mangsa.
Polis turut mengesahkan tiada unsur rogol dalam kes pembunuhan penuntut wanita itu yang ditemui mati di asrama pelajar di Cyberjaya.
Pengesahan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Serdang pada 25 Jun.
Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Norhizam Bahaman, berkata hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian wanita berusia 20 itu adalah disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian kepala.
“Mangsa ini telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya di Mutiara Ville, Cyberjaya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk ke atas kediamannya dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala mangsa.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa adalah disebabkan ‘blunt force trauma to the head’ atau hentakan objek tumpul di kepala,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM) pada 26 Jun.
Encik Norhizam berkata tiada sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur rogol dalam kes ini.
“Berdasarkan laporan awal bedah siasat ini, pihak polis menafikan dakwaan yang tular menerusi media sosial yang menyatakan mangsa dibunuh dan dirogol. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh,” jelasnya.
Pihak Polis Daerah Sepang memandang serius kes ini dan menyeru orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi serta berkongsi maklumat yang tidak benar sehingga boleh menjejaskan siasatan.
Berdasarkan laporan BHM sebelum ini, mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemui mati oleh rakannya sekitar 10 pagi 24 Jun dalam unit kediamannya di Cyberjaya.
Mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, di sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.
Mangsa dijadualkan untuk menghadapi peperiksaan hari beliau ditemui mati. Selain itu beberapa barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang disyaki dilarikan suspek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg