JELI (Kelantan): Satu lagi kes kematian akibat dibaham harimau, kali ini membabitkan seorang lelaki warga Myanmar yang ditemui mati dalam kawasan hutan berhampiran ladang cili di Lebuhraya Timur Barat Jeli-Gerik, Batu Melintang, Jeli, Kelantan, pada pagi 17 Oktober.
Mayat mangsa ditemui dalam hutan kira-kira 300 meter dari lokasi rumah kongsi pada 9.15 pagi dengan kesan kecederaan parah pada tubuh, selain paha kiri putus selepas lebih 12 jam dilaporkan hilang dari rumah kongsi.
Ini kejadian kedua membabitkan serangan harimau yang meragut nyawa dalam tempoh tiga hari selepas seorang lelaki diserang binatang buas itu pada 15 Oktober.
Dalam kejadian di kawasan hutan dekat Bersia di Gerik, Perak itu, mayat mangsa ditemui pada 12 tengah hari, kira-kira 100 meter dari rumah kongsi.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob, ketika mengulas kejadian berkata rakan sekerja mangsa memaklumkan mereka menyedari lelaki Myanmar itu hilang pada 8.30 malam ketika mangsa berada di belakang rumah kongsi di ladang terbabit.
Rakan mangsa juga, katanya, turut mendakwa terdengar bunyi harimau mengaum.
“Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta orang awam pergi ke lokasi kejadian untuk menyiasat.
“Laluan ke lokasi kejadian perlu melalui jalan berbukit dan sungai serta kebun sayur.
“Berdasarkan kesan corak darah sepanjang laluan, mangsa dipercayai cuba melepaskan diri beberapa kali, namun gagal,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Encik Saari berkata pemeriksaan pada tubuh mangsa juga mendapati terdapat kesan kecederaan gigitan di leher dan rahang di kiri kanan, kesan cakar di belakang badan serta dada.
“Paha kiri mangsa juga putus dan tulang serta kaki kiri ditemui bersebelahan badan mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Selain kes dibaham harimau, seorang lelaki di Hulu Terengganu, Terengganu, ditemui mati pada 5 Oktober di kawasan kebun, akibat dipijak gajah liar.
Mayat warga emas berusia 65 tahun, yang juga seorang pekebun, ditemui di kawasan cerun bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ia kira-kira 100 meter dari kebun mangsa dengan kesan kecederaan pada bahagian dada, kepala dan tangan akibat tekanan objek berat dipercayai dipijak oleh gajah liar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg