Topic followed successfully
Go to BHku33 pengunjung Kolam Air Panas Jasin, Melaka disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus
33 pengunjung Kolam Air Panas Jasin, Melaka disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus
33 pengunjung Kolam Air Panas Jasin, Melaka disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus
MELAKA: Seramai 33 orang termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di Melaka disyaki dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, Melaka pada minggu lalu.
Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ruzita Mustaffa, berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima pemberitahuan pada 7 Jun bahawa sekumpulan pelajar mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan selepas mengikuti program terapi di kolam air panas berkenaan pada 5 Jun.
“PKD Melaka Tengah dimaklumkan sebanyak 78 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga telah mengikuti program tersebut.
“Bagaimanapun, seramai 27 orang terdiri daripada 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata lima daripada mereka iaitu seorang penjaga dan empat pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil, manakala kes bergejala lain menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Melaka.
Dr Ruzita berkata enam kes baru wabak itu dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke kolam air panas berkenaan sepanjang tempoh 7 hingga 11 Jun dan contoh klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh, Selangor, untuk ujian pengesahan leptospirosis.
Beliau berkata berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan ke atas kolam air panas itu mendapati persekitaran kawasan berkenaan kondusif bagi penularan leptospirosis.
Leptospirosis adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang menyerang manusia dan haiwan. Ia merebak dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti anjing, tikus, arnab, tupai dan sebagainya.
Contoh persekitaran turut dihantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesahan dan sebagai langkah kawalan, ujarnya, dan pusat riadah itu diarah tutup selama 14 hari bermula 8 Jun.
“Pengusaha diarah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan diminta menukar air kolam secara kerap serta berjadual, menjaga kebersihan dan memastikan tiada infestasi (parasit) tikus atau haiwan pembawa penyakit lain.
“Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memantau perkembangan terkini kejadian kelompok disyaki leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan,” katanya.

