Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3,682 kawasan berisiko banjir di M’sia, Pahang paling banyak

Nov 21, 2025 | 4:27 PM
Sebuah kereta tenggelam di Kelantan pada 30 November 2024, akibat banjir dek hujan lebat selama beberapa hari berturut-turut.
Sebuah kereta tenggelam di Kelantan pada 30 November 2024, akibat banjir dek hujan lebat selama beberapa hari berturut-turut. - Foto AFP

Menjelang musim tengkujuh, sebanyak 3,682 kawasan di seluruh Malaysia telah dikenal pasti berisiko tinggi menghadapi banjir, dengan Pahang muncul sebagai negeri paling banyak lokasi dijangka terjejas dengan bencana itu.

Dalam kenyataan pada 21 November, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), berkata senarai lengkap hotspot atau kawasan panas berisiko banjir itu telah dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan serta memastikan gerak kerja operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa ketika bencana, dapat diselaraskan dengan lebih berkesan antara agensi.

Berdasarkan kenyataan itu, Pahang mencatat 760 kawasan berisiko tinggi dilanda banjir, diikuti Kelantan (618) dan Sabah (517).

“Beberapa negeri lain turut menunjukkan jumlah yang tinggi, termasuk Terengganu (460 lokasi), Johor (343) dan Perak (280),” menurut kenyataan itu.

Menurut JPS, hotspot banjir bermaksud kawasan yang mengalami kekerapan banjir tidak kurang daripada tiga kali bagi tempoh tiga tahun terkini.

Dalam kenyataan itu, Lembah Klang turut tidak terkecuali dengan sejumlah 63 hotspot banjir direkodkan di Selangor; 38 hotspot di Kuala Lumpur, manakala hanya tiga di Putrajaya.

JPS turut mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya meningkatkan persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Orang ramai disaran menyediakan beg atau kit kecemasan, menyimpan dokumen penting dan barangan berharga di tempat yang selamat serta sentiasa mengikuti maklumat terkini melalui amaran SMS banjir atau siren kecemasan,” kata jabatan itu.

Dalam masa yang sama, JPS juga menekankan keperluan untuk orang ramai sentiasa berwaspada sepanjang musim tengkujuh.

“Patuhilah arahan pihak berkuasa dan utamakan keselamatan diri serta keluarga pada setiap masa,” katanya.

Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada 8 November lalu, berkata Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pertengahan November ini dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat diramal berlaku sehingga awal 2026 di beberapa negeri.

Episod hujan lebat dijangka bermula di Kelantan dan Terengganu seawal November dan berkemungkinan berterusan pada Disember ini hingga Januari 2026.

Keadaan sama turut berpotensi berlaku di Pahang dan Sabah, dengan Johor dan Sarawak dijangka masih berisiko menerima episod hujan lebat sehingga Februari 2026.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersedia dengan kekuatan 20,000 anggota bagi menghadapi kemungkinan banjir pada MTL, manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menggerakkan lebih 7,880 aset mobiliti dan mempersiapkan 4,428 anggota sepanjang tempoh bencana itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg