Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan 20,000 anggota sudah bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan bencana terutama gelombang banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PDRM juga sudah bersedia dengan kelengkapan aset untuk membantu usaha menyelamat ketika bencana dan banjir sepanjang MTL yang diramal bermula pada November.
“Kekuatan pasukan polis untuk bertugas menghadapi MTL yang biasanya berlaku pada hujung tahun adalah sekitar 20,000 orang. Itu sudah berada pada tahap siap siaga.
“Begitu juga dengan persiapan aset, semua aset bagi membantu penugasan pasukan polis daripada sudut kawalan keselamatan, menyelamatkan mangsa, menjaga premis dan harta benda, semuanya sudah pun berada pada tahap siap siaga sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, sempena lawatan kerja pada 26 September untuk meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas banjir di negeri itu baru-baru ini.
Ia melibatkan bantuan tunai dan barangan dapur kepada 93 kakitangan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang terjejas dan 20 mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, pada 24 September lalu dilaporkan berkata Malaysia kini berada di penghujung Monsun Barat Daya dan dijangka memasuki fasa peralihan monsun menjelang akhir September sehingga November depan.
Katanya fenomena MTL dijangka bermula pada awal November depan dengan corak hujan lebih kerap di negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak serta timur Sabah.
“Sepanjang fasa peralihan monsun, bencana yang biasa berlaku adalah banjir kilat, petir, angin kencang, kepala air, hujan batu dan puting beliung,” katanya.
Datuk Saifuddin Nasution berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga masih meneruskan tawaran penggantian dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir dan kad pengenalan, serta sijil perkahwinan dan yang berkaitan secara percuma buat mangsa yang kehilangan atau kemusnahan dokumen penting itu ketika bencana banjir.
“Apa saja yang berkaitan dengan tugasan di bawah JPN, maka mangsa yang berkenaan ditawarkan penggantian secara percuma. Mereka perlu berurusan di pejabat JPN,” katanya.
“
“Kekuatan pasukan polis untuk bertugas menghadapi MTL (Monsun Timur Laut) yang biasanya berlaku pada hujung tahun adalah sekitar 20,000 orang. Itu sudah berada pada tahap siap siaga.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg