Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah mangsa bencana banjir, tanah runtuh di Sabah naik lebih 3,000

Sep 18, 2025 | 2:01 PM
Malaysia, Sabah, bencana, tanah runtuh
Keadaan rumah dan kenderaan yang rosak akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan Penampang, Sabah, pada awal pagi 18 September. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA.

PENAMPANG (Sabah): Keadaan banjir dan tanah runtuh di Sabah kian memburuk dengan jumlah mangsa meningkat kepada lebih 3,000 orang pada awal pagi 18 September.

Kejadian terkini melibatkan sebuah rumah roboh, manakala dua kenderaan rosak dalam kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Penampang, Sabah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Encik Zeno Tingalan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian rumah roboh dan dua kenderaan rosak akibat tanah runtuh di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan Penampang, pada 1.21 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, didapati tanah runtuh mengakibatkan sebuah rumah roboh sepenuhnya serta merosakkan dua kenderaan milik penduduk.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu. Pasukan bomba memberi khidmat nasihat kepada penduduk sekitar supaya berpindah jika perlu, kerana dibimbangi berlaku runtuhan susulan,” katanya dalam kenyataan pada 18 September, lapor Harian Metro.

Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, melaporkan jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada lebih 3,000 orang pada pagi 18 September berbanding 17 September.

JPBN dalam kenyataan pada 18 September berkata memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.

“Daerah Sipitang menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir, manakala Beaufort, Papar dan Putatan jumlah mangsa kekal, sementara Penampang dan Membakut menurun sedikit.

“Sebanyak 127 kampung turut terjejas berikutan bencana banjir melanda negeri Sabah sejak 9 September lalu,” kata kenyataan itu.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), menziarahi mangsa banjir di Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Taman Sri Keramat, Putatan, pada 17 September.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), menziarahi mangsa banjir di Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Taman Sri Keramat, Putatan, pada 17 September. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu semua pihak bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku luruan (surge) angin ke Pantai Timur Sabah, terutama daerah Sandakan dan Lahad Datu, selepas ia melanda Pantai Barat negeri itu.

Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata luruan itu diramal berlaku dalam tempoh dua hingga tiga hari bermula 18 September.

Beliau sekali gus menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan bersiap sedia untuk berpindah dan mematuhi apabila arahan dikeluarkan dengan membawa dokumen diri yang penting.

“Ini bukan bertujuan menakut-nakutkan, tetapi dari segi kesiapsiagaan apabila arahan berpindah, patuhi arahan dengan membawa dokumen,” katanya selepas melawat dan menyantuni penduduk di PPS Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah, pada 17 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg