KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengeluarkan sejumlah 3,148 saman dengan kutipan mencecah hampir RM1 juta ($306,805) ke atas pemilik kenderaan dari Singapura yang tidak memiliki Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke Malaysia, selepas peraturan itu dikuatkuasakan mulai Julai lalu.
VEP ialah sistem pengesahan kemasukan wajib untuk semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia, yang memerlukan pendaftaran secara dalam talian melalui portal VEP dan pemasangan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) VEP pada kenderaan terbabit.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata jumlah itu direkodkan sehingga 28 September lalu dengan setiap saman RM300 perlu dibayar sebelum kenderaan dibenar keluar melepasi sempadan negara.
Menurutnya, pemandu Singapura wajib memasang sistem VEP pada kenderaan bagi meningkatkan keselamatan sempadan, memudahkan pengumpulan data dan membolehkan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang jalan raya ke atas kenderaan mereka.
Tindakan tegas itu tambah beliau adalah sebahagian usaha kerajaan Malaysia memperketat kawalan terhadap kenderaan asing yang memasuki negara itu melalui pintu masuk utama khasnya dari Singapura.
“Berdasarkan statistik rasmi, jumlah kutipan hasil daripada saman itu mencecah RM944,400 dengan nilai setiap saman ditetapkan RM300.
“Sebenarnya VEP ini satu sistem penting bagi menjamin keselamatan jalan raya dan mengelak penyalahgunaan kenderaan asing di Malaysia.
“Ini kerana pihak berkuasa Malaysia boleh memantau kenderaan asing, meningkatkan keselamatan dan menguruskan saman lalu lintas sepanjang mereka berada di Malaysia, malah kita akan terus meningkatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Keperluan VEP dikuatkuasakan secara rasmi pada Oktober 2024, tetapi diberi tempoh kelonggaran bagi pemandu.
Namun, bermula 1 Julai lalu pemilik kenderaan asing persendirian individu dan syarikat yang tidak mendaftar atau tidak mengaktifkan tag RFID mereka berdepan tindakan saman.
Mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mereka yang memandu kenderaan asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada dalam Malaysia boleh disaman RM300 dan perlu membayar saman itu sebelum keluar dari Malaysia bagi mengelak masalah di pintu keluar sempadan negara.
Datuk Aedy Fadly berkata setakat 31 Ogos lalu, sebanyak 306,449 kenderaan persendirian dari Singapura sudah mendaftar VEP.
Beliau berkata tempoh nasihat (advokasi) berhubung pelaksanaan penguatkuasaan VEP itu sudah mencukupi dan tindakan tegas tanpa tolak ansur diambil dengan mengeluarkan saman serta-merta yang juga perlu dijelaskan segera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg