Topik diikuti
Pergi ke BHku397 lokasi ‘panas’ pembuangan sampah di Johor ditutup
397 lokasi ‘panas’ pembuangan sampah di Johor ditutup
JOHOR BAHRU: Sebanyak 397 lokasi panas berkaitan pembuangan sampah di Johor telah ditutup menerusi 2,076 operasi penguatkuasaan sejak 2025 sehingga kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Dalam tempoh yang sama, sebanyak 28 tindakan pendakwaan melibatkan kompaun berjumlah RM450,000 (sekitar $140,600) telah dilaksanakan.
Datuk Mohd Jafni berkata Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor dan syarikat pengurusan sisa, SWM Environment, telah diarahkan supaya memperhebat gerak kerja menyusuli aduan mengenai kelewatan kutipan sampah, sampah longgok, kebersihan awam dan tahap penyelenggaraan di beberapa kawasan.
“Aduan yang diterima tidak boleh sekadar direkod dan ditutup dalam sistem. Setiap aduan mesti disiasat sehingga ke punca, diselesaikan dalam tempoh munasabah dan disusuli langkah pencegahan supaya masalah sama tidak berulang.
“Rakyat berhak menerima perkhidmatan yang setimpal dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap agensi,” katanya dalam kenyataan pada 22 September.
Beliau berkata demikian selepas menerima pembentangan SWCorp Johor mengenai prestasi semasa dan rancangan penambahbaikan pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam di seluruh negeri itu.
Datuk Mohd Jafni berkata SWCorp dan SWM Environment perlu mengenal pasti kekerapan serta pola aduan di setiap kawasan.
Kawasan yang merekodkan aduan berulang perlu dipetakan sebagai lokasi tumpuan untuk meneliti jadual kutipan, jumlah anggota, keperluan jentera, keadaan setempat dan tahap pematuhan penyedia perkhidmatan.
“Data aduan perlu digunakan untuk mengenal pasti punca sebenar, menentukan keutamaan gerak kerja dan merangka penyelesaian khusus mengikut keperluan setiap kawasan,” katanya.
Selain operasi penguatkuasaan, sebanyak 1,225 operasi Ops Cuci telah dijalankan, manakala 101 lokasi dikenal pasti untuk ditambah baik menerusi Ops Transformasi Taman Perumahan Menjadi Destinasi Ikonik.
Namun, Datuk Mohd Jafni berkata pencapaian berdasarkan jumlah operasi sahaja belum mencukupi sekiranya masih ada kawasan yang berdepan kutipan yang tidak mengikut jadual, sampah longgok dan tindakan susulan yang lewat.
“Ukuran sebenar kejayaan adalah apabila rakyat dapat melihat dan merasakan sendiri perubahan di kawasan tempat tinggal mereka,” katanya.
Beliau mahu Sistem Pengesanan Automatik Kenderaan (AVLS) bagi pemantauan kutipan dan Sistem Setempat Bersepadu untuk Penguatkuasaan, Pemantauan dan Operasi bagi pemantauan pembersihan awam dimanfaatkan sepenuhnya.
Capaian kamera litar tertutup (CCTV) juga perlu diperluas ke kawasan yang sering menerima aduan serta lokasi pembuangan sampah haram dan sampah longgok.
Pada masa yang sama, operasi Skuad Mata Helang dan Ops Jeling perlu digerakkan secara lebih aktif untuk mengesan masalah sebelum menjadi semakin serius.
Datuk Mohd Jafni berkata penyelarasan antara SWCorp, SWM Environment, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Ahli Majlis mesti diperkukuh supaya tindakan lebih tersusun dan pantas serta tidak berlaku pertindihan tanggungjawab.
Setiap pihak juga perlu memahami kawasan seliaan, piawaian perkhidmatan dan tempoh tindakan yang ditetapkan.
“Kebersihan bukan sekadar soal imej bandar, tetapi melibatkan kesihatan, keselamatan, keselesaan dan maruah kehidupan rakyat.
“Setiap aduan mesti membawa kepada penyelesaian dan setiap kelemahan mesti menjadi asas kepada penambahbaikan,” katanya.