TAIPING: Empat individu termasuk seorang lelaki warga emas cedera selepas ambulans yang mereka naiki terbabas ke dalam parit berdekatan Jalan Tol Kamunting, Taiping pada 9 Julai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Encik Sabarodzi Nor Ahmad, berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu membabitkan pesakit lelaki berusia 68 tahun serta dua lelaki dan seorang wanita yang juga kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusia lingkungan usia 20 hingga 57 tahun.
“Difahamkan, ambulans berkenaan dalam perjalanan balik ke Parit Buntar dan terdapat empat mangsa di dalamnya iaitu kakitangan KKM dan seorang pesakit lelaki berusia 68 tahun.
“Kejadian berkenaan menyebabkan dua mangsa parah (termasuk pesakit) manakala pemandu serta kakitangan KKM cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam satu kes berasingan di Tapah, Perak, seorang penolong pegawai perubatan maut selepas ambulans yang dinaiki terbabit dalam nahas dengan sebuah treler di Kilometer 330.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara pada 8 Julai.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 30 tahun dilaporkan tersepit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu ambulans lelaki berumur 41 tahun dilaporkan cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, berkata nahas membabitkan ambulans milik syarikat swasta dengan sebuah treler.
“Ambulans berkenaan dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, ke Ipoh selepas menghantar pesakit.
“Treler berkenaan dalam perjalanan dari Klang menuju Bukit Mertajam untuk menghantar barangan.
“Siasatan awal polis mendapati ambulans berkenaan melanggar belakang treler yang dipandu lelaki berusia 32 tahun di laluan kiri jalan.
“Pegawai perubatan wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg