Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem trafik baru percepat ambulans SCDF hantar pesakit ke hospital

Jul 4, 2024 | 11:30 AM
Di bawah Sistem Keutamaan Trafik (TPS) yang baru, ambulans kecemasan SCDF akan dilengkapi dengan peralatan yang mengaktifkan laluan keutamaan di persimpangan trafik berhampiran dengan hospital.
Di bawah Sistem Keutamaan Trafik (TPS) yang baru, ambulans kecemasan SCDF akan dilengkapi dengan peralatan yang mengaktifkan laluan keutamaan di persimpangan trafik berhampiran dengan hospital. - Foto SCDF

Ambulans kecemasan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bakal berupaya menghantar pesakit ke hospital dengan lebih pantas dengan adanya satu sistem baru keutamaan syarat trafik.

Sistem Keutamaan Trafik (TPS) akan dilaksanakan secara progresif mulai 15 Julai, melibatkan penghantaran ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Sistem tersebut dijadual beroperasi sepenuhnya menjelang 2026, serta melibatkan 47 persimpangan trafik berdekatan kesemua sembilan hospital awam.

Sistem yang diibangunkan SCDF, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) itu diumumkan semasa Seminar Pelan Kerja SCDF pada 4 Julai.

Di bawah sistem itu, ambulans terlibat akan dilengkapi dengan peralatan yang mengaktifkan laluan keutamaan di persimpangan trafik berhampiran dengan hospital.

Percubaan TPS yang dijalankan di persimpangan trafik berdekatan Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Khoo Teck Puat menunjukkan penjimatan masa 30 saat hingga 100 saat bagi setiap penghantaran.

Lampu isyarat tidak akan berubah secara mendadak demi mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain kata SCDF. TPS juga hanya akan digunakan untuk kes yang mengancam nyawa. 

Sementara itu, SCDF dan HTX turut melancarkan aplikasi myResponder baru yang dipertingkat.

Aplikasi tersebut membolehkan pengguna mendaftar sebagai Pihak Pertama Bertindak dalam Masyarakat (CFR) untuk memberi respons kepada kejadian disyaki serangan jantung, atau kes kebakaran berdekatan mereka, sebelum ketibaan pegawai SCDF.

Sekurang-kurangnya 76 mangsa serangan jantung diselamatkan orang awam yang memberi respons menerusi aplikasi myResponder sejak aplikasi itu dilancarkan pada 2015.

Di bawah aplikasi dipertingkat, CFR yang berdaftar boleh memilih cara memberi respons kepada kecemasan, sama ada secara berjalan kaki, menaiki basikal atau kenderaan bermotor.

Dengan ada pelbagai pilihan ini, CFR akan dimaklumkan menerusi aplikasi myResponder tentang kejadian kecemasan yang berlaku dalam lingkungan lebih luas, atau 800 meter bagi pengguna basikal, atau 1.5 kilometer bagi pemandu kenderaan.

Pejalan kaki dimaklumkan mengenai kejadian kecemasan dalam lingkungan 400 meter, seperti sekarang.

Fungsi panggilan video dalam aplikasi turut bakal dilancarkan pada 2025.

CFR boleh menggunakan fungsi video itu untuk membantu SCDF membuat penilaian lebih baik tentang situasi kecemasan secara langsung agar sumber kecemasan yang sesuai dapat diberi kepada mangsa tersebut.

Beberapa inisiatif lain yang diumumkan termasuk tangga pam elektrik yang baru bagi membolehkan pegawai bomba dikerah lebih cepat ke lokasi kejadian, serta peralatan pernafasan terbaru yang membolehkan komander memantau secara langsung tahap udara dalam peralatan pegawai bomba mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg