SEREMBAN: Empat pemuda didakwa di Mahkamah Majistret pada 8 Julai atas tuduhan mencuri mesin penapis air di sebuah masjid di Mantin, Nilai, Negeri Sembilan pada 30 Jun lalu.
Tertuduh, Mohd Akiq Faiqal Idris, 29 tahun, Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19 tahun, Muhammad Syaiful Muhamad, 29 tahun, dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29 tahun, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut tuduhan, mereka secara bersama-sama mencuri sebuah mesin penapis air jenama Coway dalam Masjid As-Siddiqin, Batang Benar, Mantin pada 8.11 malam, 30 Jun lalu, lapor Berita Harian Malaysia.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Cik Ng Yunn Yiing, memohon hukuman paling minimum dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan latar belakang mereka.
Mahkamah memutuskan Mohd Akiq, Muhamad Syaiful dan Muhammad Zulfikri dipenjara selama tiga bulan bermula dari tarikh sabitan.
Muhammad Danial Darishan dibenarkan ikat jamin RM1,500 ($452.2) sementara menunggu laporan sosial kerana tertuduh adalah pesalah muda.
Sebutan laporan sosial pada 5 Ogos ini.
Di kamar Mahkamah Majistret berlainan, Mohd Akiq Faiqal, Muhammad Danial Darishan dan Muhammad Zulfikri diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas satu lagi tuduhan.
Mengikut tuduhan, ketiga-ketiga tertuduh melakukan kesalahan sama di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai, kira-kira 2.30 petang, 1 Julai lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg