Kes curi dalam kabin pesawat di Asia yang semakin meningkat adalah disebabkan oleh kumpulan jenayah terancang, yang menaiki penerbangan transit singkat – termasuk perjalanan ke Singapura – untuk mencuri barangan penumpang.
Hong Kong merupakan antara yang paling teruk terjejas, dengan 169 kes kecurian dalam penerbangan melibatkan barangan berharga bernilai HK$4.32 juta ($700,000) pada sepanjang 10 bulan pertama 2024 – naik 75 peratus daripada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam temu bual dengan The Straits Times (ST), Penolong Pesuruhjaya (AC) M Malathi, yang merupakan komander Divisyen Polis Lapangan Terbang (APD), berkata kes kecurian dalam penerbangan sukar dikesan dan disiasat.
Menurutnya, anggota sindiket, yang bekerja secara berpasangan, sering menaiki penerbangan keluar dari Singapura sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Changi.
“Mereka hanya mengambil sedikit wang tunai dan mungkin satu atau dua kad. Mereka tidak akan mengambil keseluruhan dompet anda, kerana jika mereka melakukannya, ia lebih mudah dilihat,” kata AC Malathi, sambil menambah bahawa pihak berkuasa mempunyai masa yang singkat untuk bertindak.
“Laporan tepat pada masanya adalah penting bagi pegawai kami mengesan suspek dengan pantas dan memintas mereka sebelum mereka menaiki penerbangan seterusnya,” ujarnya.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan, telah melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes kecurian dalam penerbangan sepanjang tempoh 12 hingga 18 bulan lalu.
Menurut laporan, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kecurian dalam pesawat – sebanyak 146 laporan dalam 10 bulan pertama 2024, berbanding 88 pada tahun sebelumnya dan 33 pada 2022.
Pihak berkuasa di Vietnam melaporkan bahawa penjenayah sering membeli tiket saat akhir, mengelakkan bagasi yang didaftarkan dan bertukar antara penerbangan domestik dengan antarabangsa serta syarikat penerbangan yang berbeza untuk mengelak pengesanan.
Singapore Airlines (SIA) enggan berkongsi perangkaan dan maklumat berhubung kes kecurian di dalam pesawat, tetapi berkata kru kabin dilatih untuk berwaspada dan memaklumkan pihak berkuasa tentang sebarang tingkah laku yang mencurigakan dalam penerbangan.
“Sekiranya terdapat kes kecurian yang disyaki, SIA dan Scoot akan membantu pelanggan yang terjejas, dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan mereka,” kata jurucakap Kumpulan SIA kepada ST.
Dalam mesyuarat agungnya di India, Iata berkata banyak kes kecurian nampaknya dirancang daripada China.
Semakan ST mendapati empat daripada lima orang yang didakwa pada 2025 atas kecurian kabin adalah warga China.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg