Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

400 bekas pengikut ajaran sesat termasuk GISBH, Ajaran Ahmadi sertai program taubat

Nov 28, 2025 | 12:18 PM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto FACEBOOK MOHD FARED MOHD KHALID

JOHOR BAHRU: Lebih 400 bekas pengikut ajaran sesat, dengan sebahagian besar daripada kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), akan menyertai Program Pemantapan Akidah dan Istitabah pada 30 November.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata program anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) itu akan diadakan di sebuah masjid di Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi.

Tambahnya ia bertujuan memurnikan semula akidah golongan terbabit yang sebelum ini terpengaruh dengan ajaran yang telah difatwakan menyeleweng dan menyalahi syariat Islam.

“Penganjuran program itu turut membuktikan komitmen Mainj dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) dalam menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar usaha membanteras ajaran sesat diperkukuhkan melalui pendekatan penguatkuasaan dan pemulihan akidah secara menyeluruh.

“Mainj bukan sahaja mengambil tindakan undang-undang termasuk tangkapan dan pendakwaan di mahkamah terhadap pihak yang terbabit.

“Ia turut memberi peluang kedua kepada mereka yang sudah bertaubat dengan menyediakan bantuan bulanan, termasuk kepada bekas pengikut GISBH, bagi membantu mereka membina kehidupan baru,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gerobok Rezeki (Ar-Rizq) pada 27 November.

Encik Mohd Fared berkata selain bekas ahli GISBH terdapat ahli bekas kumpulan ajaran sesat lain terbabit dalam program taubat itu, termasuk Ajaran Ahmadi Religion.

Katanya sebahagian besar peserta hadir secara sukarela selepas diberikan kaunseling dan pendedahan kesedaran mengenai kesesatan ajaran yang mereka diikuti.

“Ramai antara mereka sebenarnya tidak mengetahui secara mendalam kandungan ajaran (sesat) yang diikuti dan hanya menurut tanpa memahami.

“Namun hasil pendekatan kaunseling dan pendidikan, mereka akhirnya tampil untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya lapor Harian Metro.

Dalam pada itu, Encik Mohd Fared yang juga Pengerusi Pembanterasan Ajaran Sesat Negeri Johor, memaklumkan bahawa Jainj dan Mainj turut melaksanakan pindaan terhadap empat enakmen utama bagi memperkukuh usaha membanteras ajaran sesat di negeri ini.

Antara enakmen yang dipinda ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Johor 2003, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Johor 2003 serta Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor 1991.

Pindaan itu, katanya, turut memasukkan elemen berkaitan penggunaan media sosial dan peranti digital seperti telefon pintar serta aplikasi seperti TikTok sebagai saluran yang boleh digunakan untuk menyebarkan ajaran sesat, yang sebelum ini kurang diberi penekanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg