Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Agama M’sia kesal tindakan ‘bersilat’ di tanah perkuburan

Nov 24, 2025 | 2:14 PM
silat, kubur, kesal
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto FACEBOOK DATO’ SETIA DR. NAIM

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan bahawa tindakan seorang individu melakukan pergerakan menyerupai silat di sebuah tanah perkuburan Islam di Johor adalah perbuatan yang bertentangan dengan adab serta boleh disalah tafsir sebagai amalan khurafat.

Menurutnya, tanah perkuburan ialah kawasan yang perlu dihormati, dan sebarang perbuatan yang boleh menyinggung perasaan waris atau menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat tidak wajar dilakukan di tempat sedemikian.

“Saya menyambut baik tindakan segera Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, yang mengarahkan Pejabat Kadi Daerah Kluang menjalankan siasatan bagi memastikan tiada pelanggaran adab, syarak atau ketenteraman awam.

“Pendekatan ini penting untuk memahami keadaan sebenar individu berkenaan dan menilai bentuk tindakan lanjut yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada 23 November susulan penularan video kejadian tersebut yang mencetuskan perbahasan di media sosial.

Namun, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memandang isu ini dengan penuh berhati-hati dan empati.

Menurutnya, tidak mustahil individu tersebut memerlukan bantuan psikososial atau sokongan keluarga, dan siasatan yang dijalankan perlu mengambil kira aspek kebajikan serta keselamatan individu tersebut, bukan hanya fokus kepada adab di kawasan perkuburan.

Datuk Dr Mohd Na’im turut menggesa orang ramai agar mengelakkan spekulasi berlebihan sementara siasatan masih berjalan.

“Saya menyeru masyarakat memberi ruang kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri Johor untuk mengurus dan memuktamadkan hasil siasatan tanpa tekanan atau campur tangan yang boleh mengganggu proses tersebut.

“Saya juga berharap pengguna media sosial supaya bersikap berhemah ketika mengulas isu yang berkaitan dengan tanah perkuburan, memandangkan kawasan tersebut merupakan tempat ziarah dan peringatan bagi umat Islam,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa agensi di bawahnya akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Johor dan jabatan agama negeri bagi memastikan isu tersebut ditangani secara bijaksana dan penuh beradab, selaras dengan prinsip keharmonian serta nilai Malaysia Madani.

“Tanah perkuburan bukan tempat untuk perbuatan yang boleh menimbulkan salah faham atau mengganggu ketenteraman. Dalam masa yang sama, kita juga perlu menjaga kebajikan individu yang terlibat. Semoga Allah memberi petunjuk dan memelihara kita semua,” ujarnya.

Terdahulu, satu video tular selama 28 saat yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki seakan bersilat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg