Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah Perkuburan Islam di Johor masih terkawal, perancangan baru dirangka

Nov 19, 2025 | 2:00 PM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto FACEBOOK MOHD FARED MOHD KHALID

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa pengurusan tanah perkuburan Islam di seluruh negeri kekal teratur dan mencukupi, meskipun menerima peningkatan permohonan pengebumian setiap tahun, dengan beberapa kawasan bandar kini menghampiri kapasiti maksimum.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) melaksanakan pemantauan berkala terhadap tanah wakaf perkuburan bagi memastikan keperluan umat Islam sentiasa terjamin.

“Setakat ini, kapasiti di kebanyakan daerah masih terkawal, namun beberapa kawasan bandar pesat seperti Johor Bahru dan Pasir Gudang menunjukkan keperluan perancangan tambahan bagi menampung permintaan jangka panjang,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Negeri pada 19 November.

Menurutnya, beberapa tanah perkuburan bandar termasuk Bukit Alif, Sungai Danga dan Taman Impian Emas, kini berada pada kadar penggunaan antara 80 hingga 95 peratus. Keadaan ini menuntut perancangan lebih agresif agar tiada daerah berdepan kekurangan lot pengebumian pada masa hadapan.

Encik Mohd Fared berkata penilaian teknikal Mainj merangkumi penggunaan lot sedia ada, kadar pengebumian tahunan, jangka hayat tanah perkuburan serta faktor syariah seperti kesesuaian tanah, sistem saliran dan kedalaman.

Setiap cadangan pewartaan tanah baru turut dinilai bersama Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau menekankan bahawa usaha peluasan atau pewartaan baru sedang berjalan secara berperingkat melalui beberapa projek yang telah dikenal pasti.

Antaranya termasuk pembangunan Tanah Perkuburan Islam (TPI) Bukit Rodziah, Gelang Patah seluas 10.26 ekar bernilai RM1.8 juta ($562,732) yang dijangka siap pada Mei 2026; TPI Taman Setia Eco Gardens seluas 5.08 ekar bernilai RM1.5 juta; serta TPI Utara Stadium Mount Austin seluas 12.03 ekar dengan jangka tampungan sehingga 10 tahun yang sedang dibangunkan oleh pemaju.

“Pendekatan ini menunjukkan komitmen kerajaan bahawa tiada kawasan bandar akan terputus daripada kemudahan tanah perkuburan Islam. Setiap daerah perlu mempunyai rizab sekurang-kurangnya 20 tahun,” katanya.

Dalam masa yang sama, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) sedang menyelaraskan data digital perkuburan bagi memudahkan rekod, semakan lokasi kubur serta perancangan jangka panjang.

Menurutnya langkah pendigitalan ini membantu mengurangkan pertindihan rekod dan memastikan pengurusan dijalankan secara lebih sistematik dan telus.

Kerajaan Johor turut memperkukuh koordinasi antara Mainj, Jainj, Pejabat Tanah, PBT serta Jawatankuasa Kariah Masjid bagi memastikan setiap permohonan pengebumian dapat diuruskan dengan cepat dan teratur tanpa menjejaskan kelancaran pengurusan jenazah.

Beliau menegaskan bahawa penyediaan tanah perkuburan bukan urusan bersifat sementara, tetapi amanah jangka panjang yang menyentuh hak umat Islam sehingga ke akhir hayat.

“Pengurusan tanah perkuburan bukan hanya soal logistik, tetapi amanah menjaga keperluan umat Islam. Johor akan memastikan perancangan yang tersusun dan berpandangan jauh agar keperluan ini sentiasa terpelihara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg