Topik diikuti
Pergi ke BHku4,289 kes salah laku buli di M’sia direkod dari Mac hingga Ogos 2026
Menteri Pendidikan: angka kes tunjukkan bahawa usaha tangani masalah perlu berterusan dan meyeluruh, tidak terhad kepada tindakan disiplin sahaja
4,289 kes salah laku buli di M’sia direkod dari Mac hingga Ogos 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan sebanyak 4,289 kes salah laku buli bagi tempoh Mac hingga Ogos lalu, termasuk kes yang berlaku di asrama sekolah.
Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,480 kes membabitkan buli fizikal, 1,386 kes buli lisan, 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.
“KPM memandang serius setiap kejadian buli yang membabitkan murid, sama ada di sekolah mahupun di asrama.
“Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, campur tangan psikososial serta pembentukan perwatakan murid,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 13 Oktober, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari Perikatan Nasional (PN), Encik Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Ia berhubung bilangan kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama, menyusuli pendedahan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan (Menengah) Satu sebuah sekolah berasrama di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.
Prosiding inkues kematian Allahyarhamha Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah, mendedahkan bahawa tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan atau blok asrama sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Fadhlina berkata angka kes yang direkodkan menunjukkan bahawa usaha menangani masalah buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.
“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan diikuti dengan tindakan penyelesaian yang bersesuaian.
“Bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di asrama, KPM sudah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Fadhlina memaklumkan, dari aspek pemantauan fizikal, KPM sudah memasang CCTV di 200 sekolah berasrama pada 2025 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta ($940,000).
“Pada 2026, inisiatif ini diteruskan melalui pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
“Bagi Fasa 3 pada 2027, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV kepada 1,000 sekolah di seluruh negara,” katanya.
Datuk Fadhlina berkata pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung pada kemudahan fizikal semata-mata dan pengawasan oleh warga sekolah.
Menurutnya, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap sebarang aduan juga menjadi komponen penting dalam memastikan persekitaran asrama yang selamat.