KUALA LUMPUR: Sepanjang 3,285 kilometer (km) daripada keseluruhan garisan pantai di Malaysia terjejas dan mengalami ancaman hakisan serius dalam tempoh tujuh kebelakangan ini, antara 2018 dengan 2025.

Daripada jumlah itu, hakisan pantai di Sarawak dan Pahang membabitkan kawasan 1,244km, kira-kira 38 peratus daripada keseluruhan garis hakisan pantai di negara itu.

Garis pantai di Malaysia dianggar sepanjang 7,856km dengan Semenanjung mempunyai garis pantai 2,788km, manakala Sabah mempunyai 3,834km dan Sarawak sepanjang 1,234km.

Menurut data Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Sarawak dan Pahang adalah negeri yang paling banyak terjejas.

Sarawak mencatat jumlah garisan pantai terjejas paling panjang, iaitu sejauh 94km, yang dianalisis membabitkan dua zon utama, iaitu Kuching-Betong sepanjang 393km dan Sarikei-Limbang sepanjang 552km.

Sementara itu, Pahang merekodkan garisan pantai terjejas sepanjang 299km, sekali gus meletakkannya sebagai negeri dengan zon hakisan terparah di Semenanjung Malaysia.

Antara kawasan pantai yang dikesan terjejas dan mengalami ancaman hakisan serius di Pahang termasuk Pantai Cherating, Pantai Balok, Pantai Teluk Chempedak, Pantai Kempadang, Pantai Sepat, dan Pantai Cherok Paloh di daerah Kuantan.

Selain itu, fenomena alam itu turut membabitkan Pantai Tanjung Batu dan Kampung Merchong di daerah Pekan; serta kawasan Pantai Kuala Rompin, Tanjung Gemok ;dan Pantai Kampung Mukut di Pulau Tioman, daerah Rompin.

Tahap hakisan di pantai itu dilaporkan berbeza mengikut lokasi melalui penilaian semasa yang dijalankan, lapor Berita Harian Malaysia.

Hakisan pantai bagi Kedah membabitkan garisan pantai sepanjang 440km, diikuti Sabah bagi 470km di zon Tuaran-Kudat dan di Terengganu, kawasan hakisan sepanjang 350km.

Di Johor, hakisan pantai di wilayah Pantai Timur membabitkan kawasan pesisiran pantai sepanjang 310km, manakala di Perak sejauh 265km, Melaka (104km), Kelantan (76km) dan Perlis sepanjang 26km.

Secara keseluruhannya, hakisan pantai itu membabitkan 704 kawasan pantai di seluruh negara.

Bagi mengurus keadaan itu secara sistematik, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) melaksanakan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) yang mengklasifikasikan semua 704 lokasi terjejas kepada tiga kategori utama iaitu Kategori 1 (Kritikal), Kategori 2 (Ketara) dan Kategori 3 (Belum Serius).

Pembahagian itu dibuat bersandarkan kadar pengunduran garis pantai, kepadatan penduduk, serta tahap kepentingan prasarana awam di setiap kawasan berkenaan.

Daripada 704 lokasi terjejas itu, sebanyak 46 lokasi atau 6.5 peratus diklasifikasikan sebagai Kategori 1 (kritikal), iaitu kawasan yang mengalami pengunduran garis pantai melebihi 4 meter setahun di kawasan padat penduduk serta mempunyai kegiatan komersial atau industri.

Pahang mencatatkan bilangan tertinggi dalam kategori kritikal ini dengan 22 lokasi, diikuti Terengganu yang membabitkan enam lokasi, Kedah dan Sarawak masing-masing empat kawasan, Johor dan Sabah masing-masing mencatat tiga lokasi manakala dua lokasi dicatatkan di Kelantan, Perak dan Melaka. – Agensi berita.