KOTA KINABALU: Kawasan puncak Gunung Kinabalu dilanda aliran air deras di permukaan gunung akibat hujan lebat yang menyebabkan pendaki berdepan situasi berbahaya pada 4 Disember.
Seramai 49 pendaki dapat diselamatkan dan dibawa turun dari Gunung Kinabalu, setelah hujan lebat telah menyebabkan laluan pendakian di kawasan tersebut dilanda aliran air deras.
Pengarah Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim, berkata kepada The Star, kejadian aliran air deras itu berlaku berikutan hujan lebat yang bermula kira-kira 5.50 pagi 4 Disember.
Dr Maklarin berkata usaha membawa turun pendaki itu dilakukan dengan bantuan daripada jurupandu dan malim gunung di lokasi.
“Semua pendaki selamat turun menggunakan denai sama. Tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Sebuah video disiarkan di laman Facebook, Mount Kinabalu menunjukkan pendaki sedang dalam perjalanan menuruni laluan pendakian yang dilalui aliran deras air sambil dibantu oleh jurupandu.
Kebiasaannya, pendaki akan memulakan proses naik ke puncak setinggi 4,095m pada kira-kira 2 pagi, untuk sampai ke Low’s Peak sebelum matahari terbit.
Mereka kemudiannya akan mula turun selepas 6 pagi.
Difahamkan, kejadian aliran air yang deras di kawasan laluan pendakian Gunung Kinabalu adalah perkara lazim terutama ketika berlaku hujan lebat di kawasan puncak gunung.
Jika keadaan membahayakan, pendakian ke puncak tertinggi Asia Tenggara itu biasanya ditangguhkan sebelum disambung semula selepas keadaan kembali reda.
Kejadian aliran deras di Gunung Kinabalu itu bukan merupakan kejadian kali pertama.
Insiden serupa pernah dilaporkan pada September 2023 dan 14 Oktober 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg