Warga Singapura yang mengunjungi Johor sempena cuti panjang Hari Kebangsaan negara ini digalak meneroka tarikan di daerah lain dan tidak hanya menumpukan perjalanan mereka di Johor Bahru (JB).

Penggiat pelancongan Johor berkata penyebaran pelawat ke lebih banyak daerah penting bagi memastikan manfaat ekonomi daripada perbelanjaan warga Singapura turut dinikmati pengusaha hotel, restoran, pengangkutan, dusun, tempat riadah dan tarikan pelancongan di luar kawasan tumpuan biasa.

Mereka melihat cuti panjang dari 8 hingga 10 Ogos sebagai peluang untuk memperkenalkan Muar, Batu Pahat, Mersing, Kluang, Kulai dan Segamat sebagai destinasi yang menawarkan makanan tempatan, alam semula jadi, sejarah, pelancongan kerohanian serta kegiatan kekeluargaan.

Jumlah Pengunjung Singapura Meningkat

Pengarah Tourism Johor, Encik Nazrul Abd Rahim, berkata jumlah pelawat yang memasuki Johor melalui Singapura dalam enam bulan pertama 2026 menunjukkan peningkatan hampir sejuta orang berbanding tempoh sama pada 2025.

Pengarah Tourism Johor, Encik Nazrul Abd Rahim, berharap pelawat warga Singapura mempertimbangkan daerah seperti Batu Pahat dan Muar yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam pelancongan kerohanian, warisan dan makanan.
Pengarah Tourism Johor, Encik Nazrul Abd Rahim, berharap pelawat warga Singapura mempertimbangkan daerah seperti Batu Pahat dan Muar yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam pelancongan kerohanian, warisan dan makanan. - Foto fail

“Sehingga Jun tahun ini (2026), kita menerima kira-kira 13.8 juta pelawat yang memasuki Johor melalui Singapura. Daripada jumlah itu, hampir 10 juta merupakan warga Singapura.

“Angka ini memberangsangkan walaupun terdapat cabaran seperti pergolakan di Timur Tengah, kenaikan harga minyak dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Namun, beliau menjelaskan angka 13.8 juta itu merujuk kepada jumlah pelawat yang keluar masuk melalui Singapura, termasuk pelawat dari lebih 20 negara yang menggunakan Lapangan Terbang Changi sebelum meneruskan perjalanan ke Johor.

Menurutnya, istilah pelawat berbeza daripada pelancong kerana seseorang hanya dianggap pelancong apabila bermalam sekurang-kurangnya satu malam di Johor.

“Pada 2025, kita menerima hampir 24 juta pelawat dan sasaran tahun ini (2026) ialah 26 juta pelawat. Sasaran 12 juta pula merujuk kepada pelancong yang bermalam di Johor.

“Data penuh bagi pelancong yang bermalam masih dikumpulkan. Bagaimanapun, berdasarkan peningkatan pelawat setakat Jun, kita berharap sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.

Patung naga, ‘The Fortune Dragon’ atau ‘Prosperity Dragon’, terletak di Taman Hijau Persatuan Che Ann Khor Yong Peng, Taman Kota Impian, Yong Peng, Johor.
Patung naga, ‘The Fortune Dragon’ atau ‘Prosperity Dragon’, terletak di Taman Hijau Persatuan Che Ann Khor Yong Peng, Taman Kota Impian, Yong Peng, Johor. - Foto FACEBOOK TOURISM JOHOR

Encik Nazrul berkata warga Singapura lazimnya memilih tempat penginapan dan tarikan bermutu tinggi, khususnya di Johor Bahru dan Desaru, berikutan kemampuan berbelanja serta kemudahan perjalanan yang tersedia.

Namun, beliau berharap mereka mempertimbangkan daerah seperti Batu Pahat dan Muar yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam pelancongan kerohanian, warisan dan makanan.

“Di Batu Pahat dan Muar terdapat banyak tokong yang sering dikunjungi warga Singapura bagi tujuan keagamaan.

Mereka bukan sahaja datang untuk bersembahyang, malah turut bermalam, membeli-belah dan menikmati makanan tempatan.

“Kita mahu mereka meneroka hidangan seperti asam pedas, mi bandung dan makanan laut yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata Muar turut menerima limpahan pengunjung dari Melaka, terutama ketika cuti panjang apabila tempat penginapan di negeri bersejarah itu dipenuhi pelancong.

Sate Dhua, merupakan antara lokasi sarapan pagi di Muar yang popular dengan sate yang lembut, berjus dan kuah kacang pekat yang membuka selera.
Sate Dhua, merupakan antara lokasi sarapan pagi di Muar yang popular dengan sate yang lembut, berjus dan kuah kacang pekat yang membuka selera. - Foto FACEBOOK TOURISM JOHOR

Keupayaan Muar menerima lebih ramai pelawat juga bakal diperkukuh menerusi pembukaan sebuah hotel bertaraf empat bintang, yang disifatkannya sebagai perkembangan penting bagi sektor pelancongan daerah itu.

“Muar terkenal dengan makanan yang menarik dan suasana santai. Pelawat boleh datang untuk menikmati asam pedas, mi bandung, makanan laut dan pelbagai juadah tempatan.

“Kita menjangkakan warga Singapura yang gemar berjalan-jalan dan mencari makanan akan melihat Batu Pahat serta Muar sebagai pilihan baharu,” katanya.

Tarikan Daerah Lain

Di Mersing, pengusaha pelancongan pula mahu mengetengahkan daerah itu sebagai destinasi bagi pelawat yang menghargai pulau, pantai, hutan, hidupan laut dan kehidupan masyarakat setempat.

Setiausaha Persatuan Pelancongan Mersing, Encik Ahmad Firdaus Shaikh Omar, berkata daerah itu mempunyai 97 pulau serta pesisir pantai sepanjang kira-kira 250 kilometer dari sempadan Kota Tinggi hingga Pahang.

Setiausaha Persatuan Pelancongan Mersing, Encik Ahmad Firdaus Shaikh Omar.
Setiausaha Persatuan Pelancongan Mersing, Encik Ahmad Firdaus Shaikh Omar. - Foto ihsan AHMAD FIRDAUS SHAIKH OMAR

“Mersing mempunyai kepelbagaian alam yang sangat tinggi dan keunikan luar biasa.

Pintu masuk pelancongan lautnya diterajui Taman Laut Sultan Iskandar, iaitu taman laut terbesar di Semenanjung Malaysia.

“Dalam kawasan taman laut itu terdapat 20 pulau, termasuk 13 pulau yang menerima kegiatan pelancongan serta lima gugusan pulau,” katanya.

Antara pulau yang boleh dikunjungi ialah Pulau Rawa, Pulau Tengah, Pulau Hujung, Pulau Besar, Pulau Tinggi dan Pulau Sibu.

Pelawat juga boleh menikmati Pantai Tanjung Leman, Pantai Bandar Mersing, Pantai Air Papan dan Pantai Penyabong.

“Pengunjung boleh menyertai pelayaran dari pulau ke pulau yang biasanya merangkumi tiga atau empat pulau.

“Mereka boleh menikmati laut yang jernih, pantai yang indah dan kehidupan marin yang masih terpelihara,” katanya.

Pulau Tokong Rakit merupakan salah satu ikon kepulauan di Mersing.
Pulau Tokong Rakit merupakan salah satu ikon kepulauan di Mersing. - Foto FACEBOOK TOURISM JOHOR

Selain tarikan laut, Encik Ahmad Firdaus berkata Mersing menjadi pintu belakang ke Taman Negara Endau-Rompin yang menawarkan pengalaman bersama masyarakat Orang Asli serta kegiatan seperti menyumpit, menaiki perahu dan meneroka air terjun.

“Pelawat boleh menikmati keindahan Air Terjun Buaya Sangkut dan Kuala Jasin, selain melihat pemandangan sungai serta mengenali kehidupan masyarakat Orang Asli.

“Mereka juga boleh mengunjungi Galeri Taman Laut Johor untuk mempelajari usaha pemuliharaan laut, mengenali hidupan marin dan memahami kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya.

Pengunjung yang singgah ke Galeri Taman Laut Johor yang terletak di Pulau Tinggi, Mersing juga berpeluang melihat proses penetasan anak penyu.
Pengunjung yang singgah ke Galeri Taman Laut Johor yang terletak di Pulau Tinggi, Mersing juga berpeluang melihat proses penetasan anak penyu. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, pelawat turut boleh mengunjungi Muzium Mersing dan Rumah Batik Sri Wangsa, selain mencuba kegiatan menarik pukat serta mencari siput gonggong.

“Mersing bukan hanya tentang pulau. Pelawat boleh rasai sendiri cara hidup penduduk, menikmati makanan laut, mengenali kraf tempatan dan meneroka pantai yang indah.

“Kami mengalu-alukan warga Singapura datang ke Mersing sempena cuti panjang ini dan mengenali Mersing sebagai Daerah Pelancongan Lestari,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor, Encik Ajmal Ahmad Shahrom, berkata peningkatan pelawat dari Singapura membuka peluang besar kepada seluruh rangkaian perniagaan pelancongan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor, Encik Ajmal Ahmad Shahrom.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor, Encik Ajmal Ahmad Shahrom. - Foto fail

“Ini peluang kepada pemandu pelancong, hotel, restoran, pusat beli-belah, pengusaha tarikan dan sektor pengangkutan untuk memberikan khidmat terbaik kepada pelawat dari Singapura.

“Kami turut mengingatkan pemandu pelancong supaya memberikan maklumat yang tepat, mengutamakan keselamatan dan menjadi duta kecil yang membawa imej baik Johor serta Malaysia,” katanya.

Beliau mencadangkan warga Singapura mencuba Pelayaran Sungai Johor di Kota Tinggi yang membawa pengunjung menyusuri sejarah Kesultanan Johor-Riau.

“Sungai Johor pernah menjadi laluan perdagangan, pengangkutan dan pusat pentadbiran kerajaan Johor selepas kejatuhan Melaka pada 1511.

“Sepanjang pelayaran, pengunjung boleh melihat tempat bersejarah, menikmati alam semula jadi, rasai makanan tradisional dan mengunjungi dusun buah-buahan berhampiran,” katanya.

Johor Bahru Dekat dan Berbaloi

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor, Encik Jimmy Leong, berkata JB akan terus menjadi persinggahan utama kerana mempunyai banyak pusat beli-belah, restoran dan tempat penginapan bertaraf antarabangsa.

“Warga Singapura biasanya membeli barangan kesihatan, keperluan dapur dan menikmati makanan tempatan yang tidak mudah ditemukan di Singapura.

Durian jenis ‘black thorn’ yang merupakan antara durian kegemaran warga Singapura yang datang berkunjung ke dusun durian di Johor.
Durian jenis ‘black thorn’ yang merupakan antara durian kegemaran warga Singapura yang datang berkunjung ke dusun durian di Johor. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Namun, kami menjangkakan lebih ramai pelawat yang memandu sendiri akan meneroka Kulai, Kluang, Segamat dan Muar berdasarkan minat mereka.

“Sekiranya musim durian berlanjutan, dusun durian juga boleh menjadi tarikan tambahan,” katanya.

Sektor perhotelan Johor turut menjangkakan peningkatan permintaan.

Tinjauan Persatuan Hotel Malaysia cawangan Johor terhadap 23 hotel mendapati 86.9 peratus menjangka kenaikan kadar penghunian sempena cuti panjang itu.

Pengurus Besar, St Giles Southkey Johor Bahru, Encik Goh Tee Kay.
Pengurus Besar, St Giles Southkey Johor Bahru, Encik Goh Tee Kay. - Foto ihsan GOH TEE KAY

Pengurus Besar, St Giles Southkey Johor Bahru, Encik Goh Tee Kay, berkata hotel di bandar raya itu lazimnya mencatat kadar penghunian antara 90 dengan 95 peratus sempena Hari Kebangsaan Singapura.

“Kami menyasarkan kadar penghunian sekitar 94 peratus, berbanding anggaran biasa 88 peratus.

“Hubungan terus hotel dengan Mid Valley Southkey kekal sebagai tarikan bagi kegiatan membeli-belah, menjamu selera dan mendapatkan khidmat kesihatan.

“Kami menjangkakan corak kunjungan yang hampir sama tahun ini (2026) walaupun persaingan bertambah susulan pembukaan tempat penginapan baharu,” katanya.

JB juga bakal menawarkan pengalaman penginapan baharu menerusi 1975 Avenue & Hotel di Kempas, yang menampilkan 38 bilik, termasuk 18 kamar dalam dua pesawat Boeing 747 sebenar.

Ketua Jualan dan Pemasarannya, Cik Starry Tee, berkata pembangunan itu menggabungkan penginapan, tempat makan, ruang niaga dan kegiatan riadah.

“Pengunjung boleh menikmati pengalaman makan di bawah sayap Boeing 747 dan bermalam di kamar yang dihias berilhamkan kokpit serta dunia penerbangan.

“Kami mahu menjadikannya destinasi yang memberikan pengalaman berbeza kepada keluarga, pengembara urusan kerja dan mereka yang mencari tempat percutian yang unik,” katanya.

Pengunjung boleh menikmati pengalaman makan di bawah sayap Boeing 747 dan bermalam di kamar yang dihias berilhamkan kokpit serta dunia penerbangan di 1975 Avenue & Hotel di Kempas.
Pengunjung boleh menikmati pengalaman makan di bawah sayap Boeing 747 dan bermalam di kamar yang dihias berilhamkan kokpit serta dunia penerbangan di 1975 Avenue & Hotel di Kempas. - Foto STARRY TEE