Topik diikuti
Pergi ke BHkuDeruman 180 jentera Harley-Davidson gegar laluan desa Johor, pacu pelancongan rentas sempadan
Deruman 180 jentera Harley-Davidson gegar laluan desa Johor, pacu pelancongan rentas sempadan
Acara konvoi 450km turut tarik penunggang motosikal dari S’pura
Deruman 180 jentera Harley-Davidson gegar laluan desa Johor, pacu pelancongan rentas sempadan
Perjalanan merentasi jalan desa, pekan kecil dan kawasan pesisir Johor bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada penunggang Harley-Davidson dari Singapura, malah membuka mata mereka terhadap potensi negeri itu sebagai destinasi pelancongan permotoran utama di rantau ini.
Johor Loop Rally 2026: Southern Thunder yang berlangsung pada 18 dan 19 Julai menghimpunkan 180 peserta dari Malaysia dan Singapura, dengan sekitar 150 penunggang menyertai perjalanan utama merentasi Iskandar Puteri, Kulai, Kota Tinggi, Mersing dan beberapa kawasan lain di Johor.
Acara sulung anjuran H.O.G. Johor Bahru Chapter dan Harley-Davidson Johor Bahru itu turut membawa peserta melalui laluan sejauh kira-kira 450 kilometer, sekali gus memberi mereka peluang menikmati keindahan alam, sajian tempatan dan keramahan penduduk di kawasan yang jarang dikunjungi pelancong biasa.
Pengalaman bermakna
Seorang peserta Singapura, Encik Syakir Shahul Hamid, 25 tahun, berkata beliau terpesona dengan pemandangan sepanjang perjalanan dan ketelitian penganjur menguruskan pergerakan hampir 200 motosikal.
“Jalan yang kami lalui sangat cantik dan pemandangannya benar-benar menunjukkan keindahan Johor. Ia bukan sekadar satu konvoi, tetapi peluang untuk kami menikmati sendiri apa yang ditawarkan negeri ini.
“Sebagai penunggang dari Singapura, perkara yang paling mengejutkan saya ialah tahap perancangannya.
“Daripada tempat penginapan, pendaftaran, taklimat dan senaman sebelum perjalanan hinggalah makan tengah hari dan kepulangan ke tempat penginapan, semuanya berjalan lancar,” kata pegawai pematuhan yang dikenali sebagai Kiro itu.
Encik Syakir yang menunggang Harley-Davidson Road Glide keluaran 2025 berkata jamuan malam rasmi turut meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
Majlis itu diserikan dengan pertunjukan cahaya, persembahan kumpulan muzik, cabutan bertuah, peragaan pakaian dan aksesori Harley-Davidson serta pertunjukan bunga api.
“Jamuan malam itu antara yang paling meriah pernah saya hadiri. Seluruh suasananya menjadikan malam tersebut satu pengalaman yang sukar dilupakan.
“Sebagai acara edisi sulung, saya berani memberikan markah 10 daripada 10. Penganjur telah menetapkan mutu yang sangat tinggi bagi tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau turut memuji langkah keselamatan yang dilaksanakan sepanjang perjalanan, termasuk penempatan ramai petugas konvoi bagi mengawal disiplin tunggangan dan memastikan keselamatan peserta serta pengguna jalan raya lain.
“Apabila hampir 200 motosikal bergerak bersama, setiap peserta perlu memainkan peranan dan mematuhi aturan. Semuanya berjalan dengan baik kerana semua pihak saling bekerjasama dan menjaga antara satu sama lain,” katanya.
Menurut Encik Syakir, pertemuan dengan penunggang dari Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Singapura turut memperkukuh semangat persaudaraan dalam kalangan pemilik Harley-Davidson.
“Walaupun kami datang dari cawangan dan negara yang berbeza, kami berkumpul sebagai satu keluarga besar. Semangat persaudaraan itu yang menjadikan acara ini begitu istimewa,” katanya.
Potensi produk pelancongan baharu
Seorang lagi peserta Singapura, Encik Faizal Hashim, 55 tahun, berkata acara berkenaan berpotensi berkembang menjadi antara perhimpunan Harley-Davidson yang paling dinanti-nantikan di Asia Tenggara.
Perunding bidang perhotelan itu berkata perjalanan menuju Tanjung Leman dan Mersing, termasuk persinggahan makan tengah hari di Seapoint Beach Resort, menawarkan gabungan pengalaman menunggang dan pelancongan yang menarik.
“Perjalanan itu membolehkan peserta menikmati pemandangan indah sambil mengenali Johor dari sudut yang berbeza.
“Ia juga menjadi wadah terbaik untuk mengeratkan hubungan antara ahli daripada pelbagai cawangan yang berkongsi minat dan semangat yang sama,” katanya.
Encik Faizal yang menyertai Harley-Davidson Owners Group sejak 2019 berkata kekuatan utama H.O.G. terletak pada nilai persaudaraan serta kesediaan ahlinya saling membantu.
“Ahli datang daripada pelbagai latar belakang, tetapi semua berkongsi minat yang sama. Mereka sentiasa membantu dan menyokong satu sama lain.
“Itulah keistimewaan yang menjadikan setiap perjalanan bersama H.O.G. lebih bermakna daripada sekadar menunggang motosikal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya lebih banyak bentuk penghargaan diperkenalkan pada masa depan bagi mengiktiraf penyertaan dan pencapaian peserta.
“Saya juga berharap lebih banyak cawangan dari negara jiran dijemput. Penyertaan lebih luas akan menjadikan acara ini semakin meriah dan menaikkan martabatnya sebagai perhimpunan serantau,” katanya.
Penolong Pengarah H.O.G. Johor Bahru Chapter, Dr Mok Chi Chien, 42 tahun, berkata laluan perjalanan sengaja dirancang melalui pekan kecil dan kawasan yang kurang dikunjungi supaya peserta dapat merasai sendiri kehidupan serta layanan masyarakat setempat.
“Johor Loop Ride membawa sekitar 150 penunggang merentasi Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing sebelum mereka berkumpul semula bagi jamuan malam rasmi.
“Saya bangga kerana perhimpunan ini dapat menonjolkan keindahan Johor kepada penunggang dari dalam dan luar negara. Kami mahu mereka melihat kawasan yang biasanya tidak termasuk dalam perjalanan pelancong biasa,” katanya.
Menurut Dr Mok, semangat saling menjaga di jalan raya menjadi perkara paling bermakna sepanjang acara itu.
“Apabila puluhan motosikal bergerak dalam satu konvoi, tiada perbezaan pangkat atau latar belakang. Semua peserta saling menjaga. Itulah roh sebenar H.O.G.,” katanya.
Beliau berkata jamuan malam di Reef Seafood Restaurant, Sunway Putri Hills, turut diserikan dengan lebih 40 hadiah cabutan bertuah, penyampaian Anugerah Ikon dan cenderamata kepada pengarah cawangan yang hadir.
“Kehadiran pengarah daripada pelbagai cawangan membuktikan hubungan kami bukan sekadar pada nama. Kami menyokong acara mereka dan mereka pula menyokong acara kami.
“Itulah kekuatan sebenar keluarga H.O.G. dan asas yang membolehkan acara seperti ini terus berkembang,” katanya.
Dr Mok berkata penganjur juga mengambil maklum beberapa perkara yang boleh diperbaiki, khususnya urusan awal jamuan malam, pendaftaran tetamu dan susunan acara.
“Sebagai penganjur, kami sentiasa belajar daripada setiap edisi. Harapan saya ialah acara akan datang dapat menarik lebih ramai penunggang dari seluruh rantau ini untuk menjelajah Johor,” katanya.
Eratkan hubungan dua negara
Ahli Jawatankuasa Penganjur, Encik Ronnie Won, berkata kejayaan acara itu bukan diukur semata-mata berdasarkan jumlah motosikal yang hadir.
“Bagi kami, kejayaan sebenar diukur melalui senyuman peserta, persahabatan yang terjalin dan apabila semua peserta dapat pulang ke rumah dengan selamat.
“Johor Loop Rally bukan hanya perhimpunan motosikal, tetapi perayaan persahabatan, perpaduan dan gaya hidup Harley-Davidson,” katanya.
Encik Ronnie yang juga Pencatat Sejarah dan Penyunting H.O.G. Johor Bahru Chapter berkata kerjasama antara penganjur, Harley-Davidson Malaysia, Tourism Johor, Tourism Malaysia, sukarelawan dan semua cawangan yang mengambil bahagian memastikan acara berlangsung lancar.
“Kami akan terus mengumpulkan pandangan peserta untuk memperkemas urusan perjalanan, menambah kegiatan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi penunggang berkenalan.
“Kami berharap dapat menerima lebih ramai peserta dari Singapura dan seluruh rantau ini pada penganjuran akan datang,” katanya.
Pengarah Tourism Johor, Encik Nazrul Abd Rahim, berkata acara sedemikian menyokong usaha merancakkan Tahun Melawat Johor 2026 dengan menjadikan sukan, riadah dan gaya hidup sebagai produk pelancongan utama negeri.
“Penyertaan penunggang dari Malaysia dan Singapura mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara, selain mempromosikan pelancongan rentas sempadan.
“Perjalanan ini memberi peserta peluang menikmati landskap, budaya, makanan dan pelbagai produk pelancongan yang terdapat di Johor,” katanya.
Beliau berkata kehadiran peserta turut memberi manfaat kepada tempat penginapan, kedai makan, peniaga tempatan dan pusat pelancongan di sepanjang laluan perjalanan.
“Tourism Johor akan terus menyokong acara berimpak tinggi yang mampu menarik pelawat dalam dan luar negara.
“Kerjasama sektor awam, swasta dan masyarakat akan membantu menjadikan Johor destinasi pelancongan unggul di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
“
“Jalan yang kami lalui sangat cantik dan pemandangannya benar-benar menunjukkan keindahan Johor. Ia bukan sekadar satu konvoi, tetapi peluang untuk kami menikmati sendiri apa yang ditawarkan negeri ini.”“
“Penyertaan penunggang dari Malaysia dan Singapura mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara, selain mempromosikan pelancongan rentas sempadan. Perjalanan ini memberi peserta peluang menikmati landskap, budaya, makanan dan pelbagai produk pelancongan yang terdapat di Johor.”“
“Bagi kami, kejayaan sebenar diukur melalui senyuman peserta, persahabatan yang terjalin dan apabila semua peserta dapat pulang ke rumah dengan selamat. Johor Loop Rally bukan hanya perhimpunan motosikal, tetapi perayaan persahabatan, perpaduan dan gaya hidup Harley-Davidson.”