Topik diikuti
Pergi ke BHku5 warden Penjara Taiping didakwa cederakan banduan
5 warden Penjara Taiping didakwa cederakan banduan
5 warden Penjara Taiping didakwa cederakan banduan
TAIPING (Perak): Lima warden Penjara Taiping di Perak didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 3 Julai, kerana mencederakan tiga tahanan serta banduan, semasa insiden yang pada awalnya digambarkan sebagai ‘rusuhan’ oleh pihak penjara, pada Januari 2025.
Tertuduh Mohd Hairie Jumri, 40 tahun; Saiful Azman Mohamad Ibrahim, 44 tahun, dan Ahmad Rizal Razali, 37 tahun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Prabakaran.
Dua lagi, Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40 tahun, dan Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31 tahun, pula mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di kamar mahkamah berasingan di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Hairie dan Saiful Azman dituduh secara bersama sengaja menyebabkan kecederaan kepada tahanan berusia 25 tahun dengan menggunakan cota di Dewan B Penjara Taiping, antara 3 petang hingga 4 petang, pada 17 Januari 2025.
Nor Hafiz Izwan pula didakwa menyebabkan kecederaan ke atas tahanan berusia 32 tahun, di luar Dewan B Penjara Taiping pada waktu dan tarikh yang sama, lapor laman web Buletin TV3.
Sementara itu, Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan dituduh secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas tahanan berusia 30 tahun di luar Dewan B, Penjara Taiping pada waktu dan tarikh sama.
Menurut Jabatan Penjara, dua daripada pengawal penjara itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya, manakala tiga lagi di bawah Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Hairie dan Saiful Azman masing-masing diikat jamin RM4,000 ($1,267) dengan dua penjamin beserta syarat tambahan yang dimohon pendakwaan, manakala Ahmad Rizal pula dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin.
Bagi Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan pula, Majistret Ahmad Hamdi membenarkan kedua-dua tertuduh itu dijamin RM2,000 setiap seorang dengan satu penjamin dan menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 17 Januari 2025, sekumpulan besar tahanan yang dipindahkan ke penjara tersebut dipukul oleh pengawal ketika dipindahkan ke sebuah blok daif dan tidak sesuai didiami manusia.
Menurut laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), para banduan pada awalnya cuba berunding untuk menolak pemindahan ke blok berkenaan, namun gagal.
Namun begitu, mereka tidak melakukan sebarang bantahan ketika pengawal memaksa mereka berpindah.
Sebaliknya, pengawal yang bertindak ganas dan kemudian menuduh banduan menyebabkan rusuhan. Bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan sebarang insiden banduan bertindak ganas.
