Walaupun tercungap-cungap dan tubuhnya terasa lesu ketika melalui tali komando sepanjang 10 meter, Pegawai Pemulihan Dua (RO) Brenna Sim, dengan perlahan tetapi penuh yakin menguasai halangan itu hingga berjaya menekan loceng di garisan penamat.
RO Sim, 29 tahun, ialah antara empat pegawai penjara wanita – dua dari Singapura, seorang masing-masing dari Malaysia dan Hong Kong – yang bertanding antara satu sama lain dalam Peraduan Kepakaran, iaitu acara khas untuk kaum Hawa yang baru dalam senarai acara Peraduan Sekatan Penjara Asia (APLC) 2025 pada pagi 23 September di Penjara Changi.
“Saya memang gemar menguji kebolehan diri saya, saya juga dapat mempelajari teknik menguasai halangan dengan lebih baik,” kongsi RO Sim, yang sudah bertugas sebagai pegawai pemulihan selama tiga tahun.
Terdapat 64 peserta dari Singapura, Malaysia, Macau, Korea Selatan, Brunei dan Hong Kong dalam APLC 2025 yang dianjurkan oleh kumpulan elit Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Pasukan Respons Tindakan Kecemasan Penjara Singapura (SPEAR) sejak 2010.
Selain Peraduan Kepakaran, terdapat acara Cabaran Halangan Pasukan; Cabaran Sharpshooter; Cabaran Tech-Secure dan Cabaran Menyelamat dan Memulih.
APLC dan Program Kepimpinan Koreksional Antarabangsa (ICLP) 2025 merupakan platform untuk agensi pembetulan di Asia-Pasifik bertemu dan berkongsi amalan terbaik dalam pentadbiran pembetulan, kemahiran taktikal dan keupayaan operasi.
Lebih 80 pegawai pembetulan dari 16 negara menyertai kededua program tahun ini yang diadakan dari 22 hingga 26 September.
Dalam aksi Peraduan Kepakaran, Berita Harian (BH) menyaksikan keempat-empat pegawai penjara menguasai 14 halangan berbeza yang menguji kekuatan dan daya tahan mereka di bawah terik matahari.
Para peserta bermula dengan stesen menembak menggunakan senapang patah dengan sasaran kira-kira sejauh 15 meter.
Mereka kemudian perlu menguasai halangan berpalang yang diberi julukan wave, yang memerlukan peserta memanjat dan bergayut pada setiap palang hingga palang terakhir yang lebih tinggi sebelum turun bagi menamatkan halangan tersebut.
Halangan wave adalah yang paling mencabar bagi wakil Penjara Wanita Kajang dari Malaysia, Warden Nur Suhani Zaaba, 28 tahun.
“Wave mencabar kerana ia semakin tinggi semakin jauh kami memanjat tangga itu... Tetapi saya menyertai pertandingan ini untuk menguji keupayaan saya dan saya teruja mewakili (unit) penjara saya” kongsi Warden Suhani, yang bertugas selama dua tahun.
Beliau menambah, “Mulanya, saya rasa gementar kerana saya peserta pertama acara itu, saya banyak menzikir untuk tenangkan diri saya... Saya juga dapat banyak sokongan daripada para peserta dari semua negara”
Setelah itu, mereka perlu memanjat palang kayu, dinding, tali tergantung, bar monyet dan selainnya.
Namun, halangan menolak tayar lori seberat 80 kilogram sejauh kira-kira 30 meter ke garis penamat ternyata salah satu halangan yang sungguh memenatkan, memandangkan keempat pegawai terjatuh ke lantai dalam kepenatan setelah membunyikan loceng tamat.
Bercakap dengan BH setelah tamat Peraduan Kepakaran, RO Sim menekankan kepentingan pertandingan itu sebagai platform untuk menonjolkan kekuatan dan bakat pegawai penjara wanita.
“Saya gembira pertandingan khas untuk wanita diperkenalkan. Dalam kerjaya ini yang ada ramai lelaki, pegawai wanita tidak selalu dapat peluang sebegini untuk mengetengahkan kekuasaan kami.
“Kami harap persembahan kami membuktikan bahawa kekuatan dan daya tahan pegawai wanita setaraf dengan pegawai lelaki,” jelas RO Sim.
Beliau menambah pengalaman itu juga peluang yang baik untuk meraikan pengajaran daripada persembahan dan prestasi pegawai penjara dari negara lain.
RO Sim mengharapkan lebih banyak acara seperti itu diadakan pada masa depan.
Pengerusi jawatankuasa pelancaran APLC 2025, Superintenden Lawrence Lee, menjelaskan bahawa pendorong utama memperkenalkan Peraduan Kepakaran adalah untuk meningkatkan keterangkuman.
“Ini merupakan langkah seterusnya yang jelas untuk menampilkan bakat pegawai wanita dan menjadi lebih inklusif.
“Kededua pegawai wanita dan lelaki memainkan peranan penting dalam kerjaya pembetulan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg