Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu VEP: Pemandu S’pura, peniaga JB resah jelang 1 Okt

Sep 29, 2024 | 7:19 PM
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan bahawa kenderaan berdaftar asing yang masih belum memasang tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) menjelang tarikh akhir 1 Oktober masih dibenarkan masuk ke Malaysia dari Singapura.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan bahawa kenderaan berdaftar asing yang masih belum memasang tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) menjelang tarikh akhir 1 Oktober masih dibenarkan masuk ke Malaysia dari Singapura. - Foto ST

Warga S’pura yang ingin memandu ke Johor Bahru (JB) dan belum mendapat Permit Masuk Kenderaan (VEP) berkata mereka tetap resah walaupun pihak berkuasa di Malaysia menyatakan mereka masih dibenar masuk negara itu pada 1 Oktober.

Keresahan ini turut dikongsi peniaga di seberang Tambak, yang prihatin pendapatan harian mereka terus terjejas.

Beberapa peniaga yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata jumlah pelanggan dari Singapura telah merosot sejak minggu lalu.

Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Malaysia, pada 27 September, telah menyatakan pemandu kereta berdaftar di Singapura tanpa tag atau pelekat VEP akan tetap dibenar masuk ke Johor.

Namun, agensi itu, yang bertanggungjawab menguatkuasakan VEP berkata pemandu akan diberikan peringatan untuk mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag VEP apabila memasuki Johor melalui dua pusat pemeriksaan darat di Tuas dan Woodlands.

Pemandu juga boleh diberikan amaran apabila mereka beredar dari Malaysia, termasuk peringatan supaya memasang tag VEP secepat mungkin.

Namun, pemandu yang dihubungi BH berkata mereka tetap berasa resah kerana menganggap keadaan masih tidak menentu.

Antara mereka ialah Encik Muhammad Irwan Sapi’ee, 44 tahun, yang sering ke JB untuk melawat ibu bapanya yang menetap di sana.

Beliau masih belum mendapat tag VEP walaupun telah membuat permohonan sejak awal Julai.

Menurut Encik Irwan, beliau terpaksa menanti sehingga minggu lalu bagi mendapat pengesahan mengenai status permohonannya. Kini, beliau masih menanti pengesahan selanjutnya untuk mendapatkan tag VEP.

“Saya akan tetap ke JB sehingga saya dihalang. Saya telah melakukan apa yang dikehendaki. Ia tidak masuk akal jika saya masih mendapat surat amaran,” kata beliau.

Sentimen yang serupa turut dikongsi Encik Syed Mohd Fazali Abdul Rafah, 46 tahun, yang memandu kereta terpakai dan menurutnya ‘gagal’ memohon untuk VEP kerana kereta itu pernah didaftarkan untuk VEP menggunakan nama pemilik asal.

“Jawapan dari pihak VEP adalah untuk mencari pemilik sebelumnya. Macam mana nak cari?” kata Encik Fazali. Beliau, yang bertugas sebagai tekniksyen, berkata beliau tidak akan memandu ke JB sehingga keadaan menjadi lebih jelas.

Pemandu yang telah mendapat tag VEP, seperti Encik Muhammad Ariff, 31 tahun, juga mengeluh.

Beliau berkata proses mendapatkan tag VEP begitu rumit dan beliau kurang pasti apakah tindakan susulan yang akan dikenakan jika pemandu tanpa tag VEP memasuki Johor berulang kali.

“Apakah yang akan dilakukan kepada pemandu yang masuk Johor lagi tanpa VEP selepas menerima amaran pertama?” katanya.

Sementara itu, beberapa peniaga di JB memberitahu BH mereka sedang mempersiapkan diri menjelang Oktober, memandangkan pendapatan mereka telah terjejas kebelakangan ini.

Cik Noralera Abd Karim, 47 tahun, yang menjual laksa Pulau Pinang dan laksa Johor di Pasar Tani Larkin dan di Smart Pandan berkata 80 peratus pelanggannya dari Singapura.

Menjangka jumlah ini berkurangan, beliau telah mula menerima tempahan menerusi WhatsApp bagi menarik lebih ramai pelanggan setempat.

“Saya memang banyak bergantung kepada pelanggan dari Singapura... jumlah mereka kini telah merosot. Perbezaannya amat ketara,” kata Cik Noralera yang telah lapan tahun berniaga di Pasar Tani Larkin.

Pemilik restoran Dapo’ Khaleeda, Cik Norsidah Abd Rahman, 55 tahun, berkata antara 90 dengan 95 peratus pelanggannya warga Singapura dan jumlah ini telah merosot dengan ketara sejak minggu lalu.

“Jika jumlah pelanggan dari Singapura jatuh dengan drastik, saya perlu membuat rancangan lain untuk meneruskan perniagaan” kata beliau.

Keprihatinan peniaga dan pemilik perniagaan yang bergantung kepada pelancong dari Singapura juga telah menjadi tumpuan akhbar di Malaysia.

Baru-baru ini, New Straits Times (NST) menukil pengurus hotel, Encik Razak Mahadi, yang berkata pusat beli-belah dan perniagaan kecil JB lazimnya menyaksikan lonjakan jumlah pengunjung dari seberang Tambak pada hujung minggu dan musim cuti, namun ia mungkin berubah pada Oktober ini.

“Ia bukan sahaja VEP, ia mengenai ketidaktentuan berkaitannya. Rakyat Singapura tidak mahu kerumitan dan ramai yang kini memikirkan semula percutian hujung minggu mereka ke Johor,” katanya.

Akhbar The Star pula melaporkan sekitar 90,000 kenderaan Singapura telah berdaftar untuk tag VEP sehingga 29 September. JPJ berkata lagi 130,000 tag VEP dijangka dikeluarkan dalam masa beberapa minggu akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg