Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu S’pura masih boleh ke M’sia tanpa tag VEP mulai 1 Okt, tapi...

Notis amaran akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan sebelum mereka meninggalkan M’sia
Sep 27, 2024 | 8:09 PM
Ramai telah membuat perjalanan seawal 7 pagi ke pusat Permit Masuk Kenderaan (VEP) di Johor Bahru dan Singapura  untuk memasang tag VEP sebelum tarikh akhir pada 1 Oktober 2024.
Ramai telah membuat perjalanan seawal 7 pagi ke pusat Permit Masuk Kenderaan (VEP) di Johor Bahru dan Singapura untuk memasang tag VEP sebelum tarikh akhir pada 1 Oktober 2024. - Foto SHIN MIN DAILY NEWS

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan pada 27 September bahawa kenderaan berdaftar asing yang masih belum memasang tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) menjelang tarikh akhir 1 Oktober masih dibenarkan masuk ke Malaysia dari Singapura.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah aduan di Singapura mengenai kelewatan dan masalah yang dihadapi dalam proses permohonan, dengan hanya tinggal tiga hari sebelum syarat VEP dikuatkuasakan.

Dalam satu kenyataan pada 27 September, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata:

“Mulai 1 Oktober 2024, penguatkuasaan VEP akan dilaksanakan secara berperingkat. Semua kenderaan berdaftar Singapura tanpa VEP masih boleh memasuki Malaysia seperti biasa.”

Bagaimanapun, pemilik kenderaan akan menerima notis amaran daripada pegawai JPJ yang ditempatkan di di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua agar segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan VEP dan tag pengenalan frekuensi radio (RFID) mereka.

“Anda diingatkan bahawa notis amaran akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan persendirian berdaftar Singapura tanpa menggunakan VEP sebelum mereka meninggalkan Malaysia,” tambah Datuk Aedy.

Dalam kenyataan itu, beliau juga berkongsi bahawa sejumlah 62,635 kenderaan persendirian berdaftar Singapura telah mengaktifkan VEP mereka setakat 25 September.

Menurut satu laporan Berita Harian (BH), terdapat warga Singapura yang telah ke pejabat TCSens di Danga Bay pada pagi 22 September dalam usaha mereka untuk menyelesaikan isu mengenai tag VEP.

Difahamkan bahawa barisan panjang di Danga Bay sudah dilihat seawal 7 pagi dan terdapat beberapa individu yang pulang disebabkan hal itu.

Pada Mei 2024, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengumumkan bahawa mulai 1 Oktober, kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia dari Singapura melalui darat mesti mempunyai VEP yang sah, yang bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan sedemikian.

Setiap permit mempunyai tag RFID yang membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti kenderaan berdaftar asing di jalan raya negara itu. Ini juga akan membolehkan pihak berkuasa mengesan kesalahan lalu lintas kenderaan dan tunggakan saman yang perlu diselesaikan sebelum keluar dari negara itu.

VEP boleh digunakan untuk membayar yuran tol di lebuhraya Malaysia, serta caj jalan RM20 ($6) yang dikenakan ke atas kenderaan asing apabila mereka memasuki Malaysia.

Di bawah peraturan itu, pemilik kenderaan bukan berdaftar Malaysia boleh dinafikan masuk ke Johor atau didenda sehingga RM2,000 jika didapati tanpa VEP yang sah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg