Trafik dijangka sesak di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands menjelang cuti sekolah Mac dan Hari Raya Puasa.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataannya pada 7 Mac menyatakan lebih tiga juta individu melintasi Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa Perayaan Tahun Baru Cina dari 24 hingga 30 Januari, dengan jumlah tertinggi mencapai 521,000 orang pada 24 Januari.
Semasa waktu sesak, individu menggunakan kenderaan terpaksa menunggu hingga tiga jam untuk pelepasan imigresen disebabkan kesesakan dari Malaysia, lapor The Straits Times (ST).
Menurut ICA, tempoh cuti sekolah Mac adalah dari 14 Mac hingga 24 Mac, manakala tempoh cuti Hari Raya Puasa adalah dari 28 Mac hingga 1 April.
Orang ramai diingatkan supaya memastikan pasport mereka mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan jika ingin ke luar negara dan tidak membawa barang yang dilarang atau terkawal, kata ICA.
Bagi mereka yang menggunakan kereta dan motosikal, disarankan menggunakan Kod Respons Pantas (QR) sebagai ganti pasport – bagi memudahkan dan mempercepat proses pemeriksaan imigresen.
Pemandu dinasihatkan supaya memeriksa keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan.
Mereka turut dinasihatkan supaya mengelak daripada memotong barisan, yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, tambah ICA.
Pemandu tidak mematuhi peraturan dan ditangkap memotong barisan akan diarah berpatah balik dan dihantar ke hujung barisan.
Sebagai alternatif, orang ramai boleh mempertimbangkan menggunakan perkhidmatan bas merentasi sempadan.
Waktu operasi dan jadual bas boleh didapatkan di aplikasi MyTransport.SG milik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau di laman web pengendali bas.
Tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan pegawai dan yang melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan, tambah ICA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg