JOHOR BAHRU: Warna-warni budaya lima suku kaum Orang Asli di Johor diraikan dengan penuh meriah apabila Festival Hari Orang Asli 2025 berlangsung pada 23 dan 24 Ogos di Persiaran Haji Ismail Hassan, Kluang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata penganjuran festival itu adalah bukti iltizam kerajaan negeri untuk memelihara, memperkasa dan mempromosikan warisan budaya masyarakat Orang Asli.
“Di Johor, terdapat lima suku kaum Orang Asli iaitu Jakun, Kuala, Seletar, Kanaq dan Temuan yang kaya dengan budaya, adat dan bahasa masing-masing.
“Jumlah keseluruhan masyarakat ini melebihi 18,000 orang yang mendiami 60 kampung di seluruh negeri.
“Festival ini bukan sahaja bertujuan memelihara identiti budaya mereka, malah memperkukuh hubungan masyarakat pelbagai kaum dan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Ogos.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, diiringi barisan kepimpinan negeri.
Datuk Zahari berkata acara yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pelbagai agensi itu menjadi wadah mempromosikan seni, bahasa, makanan tradisional, kraf tangan serta produk usahawan Orang Asli kepada masyarakat umum.
“Sepanjang dua hari, lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan festival yang menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Perkampungan Budaya, persembahan tarian dan muzik tradisional, demonstrasi seni dan permainan warisan, jualan produk masyarakat, cabutan bertuah, pertandingan dan pameran agensi kerajaan.
“Dalam ucapannya, Datuk Onn Hafiz mengumumkan sembilan insentif khas bernilai RM3.87 juta ($1.18 juta) sebagai penghargaan kepada masyarakat Orang Asli di Johor,” kata Datuk Zahari.
Insentif itu merangkumi bantuan kepada Ketua Isi Rumah; sumbangan bakul makanan; pemberian komputer riba kepada pelajar Orang Asli yang melanjutkan pengajian ke universiti; geran pengurusan kampung; peruntukan naik taraf kemudahan balai raya dan dewan; sumbangan kepada masjid dan surau; penyediaan kemudahan sukan; sagu hati kepada tok batin (penghulu sakai) dan penubuhan Jawatankuasa Khas Komuniti Orang Asli Johor.
Selain itu, turut disampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM); bantuan peralatan siar raya (alat untuk membuat pengumuman) kepada 60 kampung serta projek baik pulih taman bimbingan kanak-kanak di kampung.
Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, dinobatkan sebagai Kampung Orang Asli Terbaik pada 2025, sebagai pengiktirafan kepada usaha mereka memelihara budaya dan memperkukuh pembangunan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg