Seramai 336 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Ayer Hitam kini boleh menarik nafas lega apabila menerima hak milik tanah masing-masing, manakala 205 permohonan lot generasi kedua Felda turut diluluskan sepenuhnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, ketika mengadakan sesi libat urus bersama warga Felda Ayer Hitam sempena siri lawatan kerja ke rancangan Felda di seluruh negeri.
Beliau berkata program itu menjadi wadah penting untuk menyantuni para pemimpin rancangan dan penduduk setempat bagi mengenal pasti keperluan serta mendengar cadangan secara langsung daripada warga peneroka.
“Pelbagai isu dan cadangan telah dibincangkan, khususnya yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi peneroka serta keperluan pembangunan kemudahan asas di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Ogos.
Datuk Zahari memaklumkan bahawa Felda Ayer Hitam akan menerima peruntukan berjumlah RM2.2 juta ($670,000) yang akan digunakan bagi kerja naik taraf jalan dan sistem saliran, pemasangan sistem perpaipan serta bekalan elektrik untuk lot perumahan generasi Felda.
Dalam lawatan sama, Datuk Zahari turut melahirkan rasa kecewa terhadap status projek ternakan lembu fidlot di kawasan tersebut yang masih terbengkalai meskipun telah hampir setahun sejak lawatan beliau pada Ogos tahun 2024.
“Saya turun sendiri untuk meninjau semula tapak projek ternakan lembu fidlot di Felda Ayer Hitam. Malangnya, tiada perkembangan dapat dilihat. Projek ini masih terbengkalai tanpa sebarang kemajuan seperti yang sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Projek berkenaan merupakan usaha di bawah peruntukan Felda berjumlah RM10 juta, dirancang untuk membangunkan dua kandang ternakan serta kawasan tanaman rumput napier di atas tanah seluas 220 ekar, dengan kapasiti sehingga 1,000 ekor lembu.
Menurut beliau, projek itu sepatutnya membawa manfaat ekonomi kepada 336 peneroka Felda Ayer Hitam, namun kini harapan tersebut masih belum menjadi kenyataan.
“Saya mohon pihak pengurusan Felda untuk menyegerakan semula pembangunan projek ini di tapak sedia ada,” tegasnya.
Walaupun projek berkenaan bukan di bawah bidang kuasa atau peruntukan Kerajaan Negeri, Datuk Zahari menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan setiap bentuk pembangunan yang dibawa masuk ke Johor dilaksanakan dengan baik.
“Kerajaan Negeri tidak akan memejam mata jika terdapat projek yang terbengkalai atau tidak memberi impak seperti yang dijanjikan. Kita mahu setiap sen yang dilaburkan membawa hasil dan pulangan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan penyelarasan lebih cekap antara agensi berkaitan dan Felda bagi memastikan pelaksanaan pembangunan luar bandar di Johor dapat dilaksanakan mengikut jadual serta memberikan manfaat terus kepada masyarakat peneroka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg