503 kes baru TB direkod di M’sia
KUALA LUMPUR: Sebanyak 503 kes baru jangkitan penyakit batuk kering atau tuberkulosis (TB) dilaporkan di seluruh Malaysia sepanjang minggu epidemiologi kelima.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 15 Februari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata pengesanan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan kes TB sebanyak 2,571 di serata negara.
Sabah mencatat jumlah tertinggi dengan 614 kes, yang membentuk 23.88 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.
Ini diikuti Selangor dengan 476 kes (18.51 peratus) dan Sarawak dengan 257 kes (10 peratus).
Johor pula mencatat 233 kes (9.06 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 202 kes (7.86 peratus).
Pulau Pinang mencatat 148 kes (5.76 peratus), diikuti Kedah dengan 144 kes (5.60 peratus) dan Perak dengan 127 kes (4.94 peratus).
Jumlah kes lebih rendah dilaporkan di negeri lain, termasuk Kelantan dengan 96 kes (3.73 peratus), Pahang 81 kes (3.15 peratus), Terengganu 60 kes (2.33 peratus) dan Negeri Sembilan 58 kes (2.26 peratus).
Sementara itu, Melaka mencatat 42 kes (1.63 peratus), Perlis 17 kes (0.66 peratus), dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan jumlah terendah dengan 16 kes, membentuk 0.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Menurut kenyataan tersebut, sebagai persiapan menjelang musim perayaan akan datang serta cuti umum yang panjang, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dalam mencegah dan mengawal penularan TB.
“Langkah pencegahan termasuk mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik serta memakai pelitup di kawasan tumpuan orang ramai.
“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berlarutan, demam, hilang selera makan atau penurunan berat badan tanpa sebab, digalakkan untuk melakukan saringan segera di pusat jagaan kesihatan terdekat,” kata KKM menerusi kenyataan itu.
Tambahnya, langkah ini bukan sahaja berdasarkan asas penilaian risiko peribadi, malah juga merupakan tanggungjawab sosial untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada penularan penyakit berjangkit. – Agensi berita.

