KUALA LUMPUR: Seramai 52 penduduk di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, berdepan detik cemas dan diarahkan berpindah susulan kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat di sekitar ibu negara, pada petang 22 Ogos.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Lazim Ismail, berkata arahan pengosongan itu membabitkan sebanyak 17 rumah yang berisiko tinggi dan dibimbangi berlaku runtuhan susulan.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah tutup dengan kanvas kawasan kiri dan kanan di tempat kejadian pada 22 Ogos dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak masuk ke kawasan itu kerana ada sedikit pergerakan tanah apabila mereka naik ke kawasan berkenaan.
“Tetapi pergerakan (tanah) itu tidak serius. Sebenarnya kediaman terbabit tidak terjejas (struktur rumah) cuma (jarak) tanah runtuh itu agak dekat iaitu kira-kira 0.6 meter daripada rumah berkenaan,” katanya, lapor Harian Metro.
Katanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Badminton Taman Bunga Raya untuk semua penghuni yang terjejas.
“Sebuah balai polis bergerak turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi menjamin keselamatan awam dan memantau keadaan semasa,” katanya.
Sementara itu dalam kejadian berasingan berhampiran kawasan pelancongan Masjid India, Kuala Lumpur, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikhuatiri tertimbus ke dalam lubang sedalam 10 meter, selepas tiba-tiba berlaku mendapan tanah di situ.
Difahamkan ketika kejadian sekitar 8 pagi 23 Ogos itu, mangsa sedang bersiar-siar bersama keluarganya sebelum tiba-tiba berlaku mendapan tanah sehingga membentuk lubang berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa giat dijalankan oleh pihak JBPM dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Air Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg