Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 anggota Malbatt cedera terkena serpihan letupan serangan Israel di Lebanon

Nov 8, 2024 | 10:47 AM
Seorang anggota Malaysian Battalion di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Di Lebanon (Unifil) cedera selepas satu serangan udara Israel di selatan Lebanon.
Seorang anggota Malaysian Battalion di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Di Lebanon (Unifil) cedera selepas satu serangan udara Israel di selatan Lebanon. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggota Malbatt 850 cedera dalam satu insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lebanon, ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (Malbatt 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah, kira-kira 7.54 malam waktu Malaysia pada 7 November.

Dalam kejadian itu, lima anggota membabitkan Malbatt 850-12 yang baru tiba ke negara itu mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki retak tangan kiri) dan seorang lagi anggota Malbatt 850-11.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan ATM pada 7 November malam, letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.

“Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11.

“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa.

“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata kenyataan itu lagi, lapor Berita Harian Malaysia.

Tentera Darat Lebanon dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kenderaan membawa anggota pengaman Malbatt yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) sedang melalui sekatan jalan.

“Tentera Israel mengebom sebuah kereta yang melalui Awali di Sidon. Serangan ini menyebabkan tiga warga Lebanon maut,” kata kenyataan itu. Serangan itu turut disahkan Unifil dalam satu hantaran di X.

Pada 6 November, pasukan Malbatt 850-12 berlepas ke Lebanon, bagi meneruskan misi pengaman di selatan negara itu meskipun berdepan cabaran susulan konflik yang melanda negara berkenaan.

Atur gerak pasukan itu membabitkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai awam dilaksanakan secara berperingkat bermula 6 November sehingga 18 November.

Pergerakan penerbangan akan menggunakan pesawat Batik Air membabitkan penghantaran kontinjen itu dan membawa pulang kontinjen Malbatt 850-11 yang sudah berkhidmat selama 12 bulan di Lebanon.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg