KUALA LUMPUR: Enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Terengganu yang didapati membuli seorang pelajar Tingkatan Dua sehingga cedera, sudah diarahkan dibuang dari institusi berkenaan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan tidak ada kompromi terhadap perbuatan itu atas apa juga alasan.
“Sudah berulang kali saya tegaskan bahawa tiada tempat bagi pembuli di mana-mana MRSM.
“Apa jua alasan tidak sesekali menghalalkan perbuatan memukul atau apa jua bentuk perbuatan fizikal yang boleh mencederakan.
“Saya sudah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah Mara untuk tidak sekali-kali berkompromi dalam hal ini.
“Semua pelajar yang terbabit hendaklah dibuang daripada Maktab. Tidak perlu melayani sebarang rayuan,” katanya dalam hantaran melalui media sosial beliau pada 27 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Media Malaysia pada 26 Jun melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah MRSM di Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama Putera pada malam 24 Jun sehingga mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, dipetik berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.48 petang 25 Jun.
Berdasarkan keterangan mangsa lelaki berusia 14 tahun, Superintendan Azamuddin berkata pelajar itu mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, kira-kira 11.30 malam.
Katanya, mangsa juga mendakwa ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga ketika berada di asrama Putera.
Kejadian itu dikatakan kemudian disedari oleh warden yang bertugas sebelum membawa mangsa dan suspek ke pejabat warden.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg