Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

60.7 tan lebihan makanan di bazar Ramadan M’sia diselamatkan pada 2024

Mar 18, 2025 | 12:13 PM
Antara lebihan minuman yang berjaya dikumpul daripada peniaga di bazar Ramadan dekat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka, pada 17 Mac 2025.
Antara lebihan minuman yang berjaya dikumpul daripada peniaga di bazar Ramadan dekat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka, pada 17 Mac 2025. - Foto BERNAMA

MELAKA: Sebanyak 60.7 tan lebihan makanan dianggarkan bernilai RM726,000 ($217,637) diselamatkan daripada dibuang menerusi pelaksanaan Program MySaveFood di bazar Ramadan, pada 2024 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Encik Khalid Mohamed, berkata inisiatif itu membabitkan 149 bazar Ramadan di Perlis, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Lebihan makanan diselamatkan membabitkan juadah tidak habis dijual oleh peniaga bazar Ramadan yang menyertai program itu dan kemudiannya diagihkan kepada pelbagai pihak antaranya ke institusi pengajian tinggi, surau atau masjid dan taman perumahan.

“Pada 2025, kita menjangkakan jumlah makanan diselamatkan lebih kurang sama dengan 2024, kerana di Melaka saja, walaupun dalam tempoh beberapa hari, lebihan makanan dan minuman diselamatkan mencecah 4.8 tan.

“Lebihan makanan dan minuman berkenaan akan diagihkan kepada golongan memerlukan, sekali gus mengelakkan pembaziran,” katanya selepas Program MySaveFood Ramadan di Bazar Ramadan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Encik Khalid berkata inisiatif itu bukan saja mengelakkan pembaziran, tetapi juga menyumbang kepada pengurangan jumlah sisa pepejal dibuang ke tapak pelupusan di negeri terbabit.

“Sebenarnya secara keseluruhan, kita mendapati jumlah sisa dilupuskan di tapak pelupusan sampah di tujuh negeri terbabit bersempena dengan Ramadan setakat hari ini berkurang sebanyak 2.7 peratus berbanding bulan lain.

“Pengurangan itu membuktikan program MySaveFood Ramadan berjaya mengelak pembaziran, sekali gus memberi kesan positif kepada peniaga dan penerima lebihan makanan terbabit,” katanya.

Sementara itu di Pulau Pinang, peniaga bazar Ramadan bersedekah dengan memberikan jualan yang tidak habis dijual kepada golongan memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Encik Jason H’ng Mooi Lye, berkata tindakan itu lebih relevan berbanding membuang makanan berkenaan.

“Lebihan makanan daripada peniaga bazar Ramadan ini diagihkan kepada golongan memerlukan, selain masjid dan surau bagi mengelak pembaziran,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg