Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bawa ‘tumbler’ sendiri, dapat diskaun air balang

Mar 10, 2025 | 2:28 PM
Pemilik Ba-Balang, Encik Muhammad Ali Ibrahim, mengendalikan reruai minumannya di Bazar Kampong Gelam bersama isteri, Cik Norenawaty Bahari. Pada 2025, reruai itu memberikan potongan harga $1 kepada pelanggan yang membawa bekas air sendiri.
Pemilik Ba-Balang, Encik Muhammad Ali Ibrahim, mengendalikan reruai minumannya di Bazar Kampong Gelam bersama isteri, Cik Norenawaty Bahari. Pada 2025, reruai itu memberikan potongan harga $1 kepada pelanggan yang membawa bekas air sendiri. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila bahang cuaca sempena Ramadan mula terasa, reruai minuman Ba-Balang menyediakan cara untuk menyejukkan badan sambil mempromosikan kemampanan.

Buat julung-julung kalinya, reruai minuman tersebut memberikan potongan harga $1 kepada pelanggan yang membawa bekas air sehingga satu liter.

Selain itu, pelanggan boleh mendapatkan potongan harga $2 jika mereka membeli bekas air keluli tahan karat khas ‘Save The Earth – Dirgahayu Duniaku’ 500 mililiter (ml) – dari reruai Kedai Kita di bazar yang sama.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pemilik Ba-Balang, Encik Muhammad Ali Ibrahim, 42 tahun, yang mengendalikan reruainya di Bazar Gemilang Kampong Gelam 2025, berkongsi bahawa langkah ke arah kemampanan bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga membantu mengurangkan kos operasi dengan mengurangkan penggunaan cawan pakai buang dan straw.

“Selain daripada mengambil perhatian tentang alam sekitar, usaha-usaha ini sebenarnya membantu kita menjimatkan kos kerana lebih kurang cawan pakai buang dan straw perlu dipesan. Jadi, ia adalah keadaan saling menguntungkan,” kongsi beliau.

Ternyata, langkah ini tidak mungkin berlaku melalui kerjasama dengan reruai Kedai Kita, yang dimiliki bersama oleh Encik Muhammad Hafidz Mohd Hanifah dan Encik Buhari Bawasi.

Terletak di bazar yang sama, reruai itu juga menjual bekas air yang direka pengasas VIABobby.co, Cik Nezar Abdul Karim, dikenali sebagai Bobby.

Cik Nezar, yang sudah lazim membawa bekas air, berkata pengalaman peribadinya mencorak ciptaan produk tersebut.

“Secara am, saya memang minat menggunakan tumbler (gelas), tetapi untuk jenis ‘sip and sling’ ini, ia lebih mudah bagi saya yang mempunyai masalah pergerakan di kaki dan lengan kanan.

“Saya juga sangat terkesan dengan pembaziran plastik dan ini adalah percubaan untuk melihat sambutan orang ramai di bazar,” ujar beliau, yang ingin menjual 100 unit bekas air tersebut sebagai sasaran pertama.

Walaupun masih awal untuk mengukur sambutan pelanggan, Encik Ali berkata bahawa sesetengah pelanggan telah menerima inisiatif tersebut dengan membawa bekas air mereka sendiri untuk mengambil kesempatan daripada potongan harga tersebut.

“Mereka gembira dan teruja walaupun potongan harga hanya sedolar. Untuk bekas air mesra alam, kami mengenakan caj $3 bagi setiap isian semula – ibarat konsep pembelian dengan pembelian (purchase with purchase).

“Kadangkala, apabila kami beritahu pelanggan tentang inisiatif ini, mereka tidak percaya pada mulanya. Ada yang ingat kami bergurau!

“Tapi, ada juga yang betul-betul bawa bekas air sendiri. Malah, ada yang terkejut apabila mendapat tahu potongan harga itu memang wujud,” tambah beliau, yang juga mempunyai reruai di Bazar Geylang Serai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg