KUALA LUMPUR: Sejumlah 19.65 peratus atau 608 daripada 3,093 kes jenayah seksual membabitkan individu bawah umur yang direkodkan antara 2023 dengan Oktober 2025, disahkan berlaku dalam kawasan sekolah.
Perangkaan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Encik M Kulasegaran, pada sesi kamar khas di Parlimen, pada 13 November.
“Jumlah kes jenayah seksual membabitkan individu bawah umur 18 tahun adalah 1,160 kes pada 2023; dan diikuti 1,041 kes pada 2024.
“Manakala 892 kes direkodkan pada Januari hingga Oktober 2025,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Cik Syerleena Abdul Rashid (Pakatan Harapan-Bukit Bendera) berhubung usaha kerajaan menangani krisis jenayah seksual remaja di Malaysia.
Mengulas tangkapan kes jenayah membabitkan individu bawah umur 18 tahun, Encik Kulasegaran berkata antara 2023 dengan Oktober lalu, jumlah keseluruhan direkodkan adalah 3,601 kes.
Ia membabitkan 1,194 kes pada 2023; diikuti 1,348 kes pada 2024; dan 1,059 kes lagi antara Januari dengan Oktober 2025.
Mengenai langkah yang diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangani isu berkenaan, katanya Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan ditubuhkan, yang menggabungkan kepakaran pelbagai pihak.
Ini termasuk pakar akademik, agensi kerajaan seperti PDRM serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
“Sehingga kini, jawatankuasa itu telah bermesyuarat dua kali dan telah berbincang serta membuat cadangan berkenaan menambah baik program sekolah selamat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah 1,253 sekolah terbabit pelaksanaan audit keselamatan yang bermula 19 Ogos lalu sehingga setakat 17 Oktober 2025.
Pada masa sama, sejumlah RM3 ($0.95 sen) juta diperuntukkan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan 200 sekolah bagi tujuan memantau kawasan berisiko.
“Sebagai langkah tambahan, peruntukan RM5 juta diturunkan bagi tujuan sama dengan perolehan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, 600 pembantu warden asrama bakal dilantik dalam kalangan kakitangan kontrak jangka pendek (MyStep), yang bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid, sekali gus mengurangkan beban tugas warden.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg