Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor komited pastikan sekolah kekal tempat selamat dan sejahtera untuk murid

Oct 16, 2025 | 2:44 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin (berbaju putih), turut menyeru agar ibu bapa lebih proaktif dalam memantau perkembangan anak-anak, khususnya dalam penggunaan gajet dan media sosial di rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin (berbaju putih), turut menyeru agar ibu bapa lebih proaktif dalam memantau perkembangan anak-anak, khususnya dalam penggunaan gajet dan media sosial di rumah. - Foto FACEBOOK AZNAN TAMIN

Kerajaan Johor menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan semua sekolah di negeri itu kekal sebagai tempat yang selamat dan sejahtera bagi murid menimba ilmu, susulan beberapa insiden melibatkan disiplin dan keselamatan pelajar yang mendapat perhatian umum sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, terhadap isu yang berlaku di sekolah serta nasihat berhubung kepentingan disiplin dan keselamatan murid.

“Pandangan Raja Permaisuri Agong amat bertepatan dan signifikan dalam usaha bersama memastikan kesejahteraan serta keselamatan murid di Johor sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Oktober.

Menurutnya, saranan tersebut turut mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan pendidikan disiplin, peranan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta pengaruh media sosial terhadap murid sekolah.

Encik Aznan berkata nasihat itu juga seiring dengan usaha kerajaan Johor yang telah dimulakan sejak 2017 melalui kempen TinDak (Tindak Demi Anak Kita) di bawah kelolaan Johor Women’s League (Jewel), yang menumpukan kepada perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan dan gangguan seksual.

“Usaha ini mencerminkan kepedulian berterusan institusi diraja Johor terhadap kesejahteraan generasi muda,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk membanteras isu disiplin, buli dan salah laku di sekolah melalui pelaksanaan Kempen Anti-Buli Johor.

“Melalui kempen ini, kita mahu memastikan 1,195 sekolah di Johor kekal sebagai tempat yang kondusif dan selamat untuk anak-anak menimba ilmu.

Slogan ‘Buli Bukan Budaya Johor’ menjadi seruan moral kepada seluruh warga pendidik, murid, ibu bapa dan masyarakat,” katanya.

Selain itu, JPNJ akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Pemantauan akan dijalankan sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin dan tindakan segera dapat diambil terhadap sebarang laporan yang diterima.

Encik Aznan turut menegaskan pendirian kerajaan Johor yang membantah sekeras-kerasnya sebarang penerbitan filem, drama atau iklan yang menonjolkan unsur keganasan dan buli daripada disiarkan di pawagam atau platform penstriman atas talian.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar ibu bapa lebih proaktif dalam memantau perkembangan anak, khususnya dalam penggunaan gajet dan media sosial di rumah.

“Pendidikan yang berkesan bermula daripada keluarga, diteruskan di sekolah dan disempurnakan oleh masyarakat. Oleh itu, sinergi antara ketiga-tiga pihak ini amat penting bagi membentuk anak yang berakhlak mulia, berdisiplin dan beradab,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg