Topik diikuti
Pergi ke BHku713 kandungan imej deepfake babit pemimpin parti politik M’sia diturunkan penyedia khidmat
713 kandungan imej deepfake babit pemimpin parti politik M’sia diturunkan penyedia khidmat
713 kandungan imej deepfake babit pemimpin parti politik M’sia diturunkan penyedia khidmat
KUALA LUMPUR: Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej secara mendalam atau deepfake membabitkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September 2026.
Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata tindakan itu dibuat berdasarkan aduan diterima, pelanggaran garis panduan komuniti penyedia perkhidmatan serta undang-undang tempatan.
Beliau berkata penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk deepfake, penipuan dan pemalsuan identiti ditangani mengikut elemen kesalahan serta bidang kuasa agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau memudaratkan, SKMM boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” katanya, lapor laman web Buletin TV3.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar daripada Perikatan Nasional (PN), Encik Afnan Hamimi Taib Azamudden, berhubung jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan deepfake membabitkan pemimpin politik sepanjang 2025 hingga 2026.
Soalan itu turut menyentuh langkah kerajaan memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif berdasarkan kedudukan politik individu yang menjadi mangsa.
Datuk Fahmi menegaskan, tindakan SKMM berasaskan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu terbabit.
“Sebagai contoh, Seksyen 233 Akta 588 menetapkan elemen perlakuan dan niat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu perbuatan boleh dianggap sebagai kesalahan.
“Pindaan kepada seksyen itu turut disertakan dengan huraian setiap elemen kandungan, termasuk apa yang dimaksudkan sebagai kandungan palsu, lucah, sumbang, mengancam dan jelik melampau,” katanya.
Menurutnya, kes membabitkan pendakwaan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian dan hanya dilaksanakan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.
Beliau berkata tertuduh turut diberi hak mengemukakan pembelaan sepanjang proses perbicaraan sebelum mahkamah membuat keputusan.
“Kementerian juga mempunyai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan SKMM bertindak secara adil dan bebas tanpa tekanan luaran,” katanya.
Tambahnya, pihak yang terkilan boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan di bawah Akta 588 dan Akta 866, sebelum memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan tribunal.